suria

200 Petani Di Pasir Puteh Rugi RM600,000 Selepas Padi Ditenggelami Air

PASIR PUTEH: Lebih 200 petani Cherang Rotan di Kampung Tasek di sini kerugian kira-kira RM600,000 selepas tanaman padi mereka seluas 400 hektar musnah akibat ditenggelami air sejak seminggu lepas.

Ketua Unit Peladang Kampung Tasek Pauh Suhaimi Abdul Rashid berkata padi benih petani berkenaan tidak tumbuh selain dimakan siput gondang yang membiak dengan cepat dalam air, manakala yang lain musnah apabila digenangi air bagi tempoh agak lama.

"Paling malang sekali, sudah tiga kali mereka melakukan kerja menabur benih tetapi setiap kali menabur, ditenggelami air paras dada akibat hujan lebat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Tasek pada Rabu.

Beliau berkata sesetengah daripada petani terbabit sudah tidak mampu menabur benih padi lagi kerana kehabisan modal iaitu sebanyak RM600 bagi setiap 0.46 hektar bagi membajak, meracun rumput dan membeli padi benih pada harga RM33 sekampit.

Katanya, sekiranya mereka tiadk dibantu, kemungkinan besar tanah yang telah siap dibajak itu akan terbiar dan menyebabkan petani berkenaan bukan sahaja kerugian besar malah hilang mata pencarian utama bagi menyara keluarga.

Rakannya, Ketua Unit Peladang Kampung Banir Belikong Ahmad Isa berkata kejadian sedemikian jarang berlaku dan dalam tempoh 10 tahun, sawah mereka hanya ditenggelami air sekali sahaja dalam setahun.

Beliau berkata sebelum ini, mereka mampu mendapat hasil sebanyak RM2,500 hingga RM2,800 bagi setiap 0.46 hektar semusim.

Sehubungan itu, Ahmad merayu pihak yang berkenaan sama ada kerajaan negeri atau persekutuan membantu petani terbabit dengan sekurang-kurangnya menyumbangkan benih padi supaya mereka boleh mengusahakan sawah di kawasan berkenaan.

Seorang warga emas Lajim Sulong, 75, berkata beliau sudah mengeluarkan modal hampir RM3,000 sebagai upah membajak sawahnya seluas enam hektar.

"Jika saya hendak menabur buat kali keempat, saya terpaksa bergolok-bergadai untuk mendapatkan kembali modal yang habis digunakan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain