suria

20 Kes Pinjaman Peribadi Palsu Dikesan Di Pahang Tahun Lepas

KUANTAN: Sebanyak 20 kes tawaran pinjaman peribadi palsu yang melibatkan kerugian RM134,626 dikesan di Pahang sepanjang tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Zaini Jass berkata tawaran pinjaman peribadi itu dipercayai dijalankan satu sindiket dengan mengiklankan nombor telefon syarikat pinjaman yang ditampal di merata tempat.

"Suspek menawarkan pinjaman dengan syarat-syarat yang mudah untuk menarik minat peminjam berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, pada Rabu.

Beliau berkata selepas lulus ditemuduga melalui telefon, peminjam berkenaan dikehendaki memasukan wang sebanyak 10 peratus daripada jumlah pinjaman yang dipohon ke dalam nombor akaun yang diberikan sebagai wang memproses pinjaman.

"Bagaimanapun setelah dimasukkan wang berkenaan, suspek gagal dihubungi mangsa yang ingin memaklumkan kepadanya mengenai transaksi itu," katanya.

Zaini berkata sehingga kini sebanyak 20 kes dikesan di lima daerah di Pahang dengan menggunakan modus operandi yang sama dengan kes pertama dilapor 9 Jan tahun lepas dan kes terakhir pada 26 Dis lepas.

Beliau berkata jumlah wang pendahuluan yang tertinggi iaitu 10 peratus daripada jumlah pinjaman ialah sebanyak RM45,160 dan kebanyakan mangsa merupakan peniaga.

Sementara itu, Zaini berkata seramai lapan kontraktor kelas F ditipu oleh individu yang menyamar sebagai Pegawai Pendidikan Daerah yang menawarkan tender projek-projek sekolah.

Beliau berkata penipuan itu melibatkan enam kes pada tahun lepas dan dua kes tahun ini dengan kes pertama pada 10 Okt lepas dan terbaru pada Isnin lepas.

"Suspek dikatakan menghubungi mangsa dan memperkenalkan diri sebagai Pegawai Pendidikan Daerah sebelum menawarkan tender projek bagi membuat koridor di sekolah," katanya.

Beliau berkata sebelum memperoleh tender berkenaan, mangsa akan dihubungi dan diminta menderma sebanyak RM1,500 hingga RM3,000 kepada pihak sekolah melalui nombor akaun yang diberikan dan apabila wang dimasukkan ke dalam akaun itu, suspek gagal dihubungi.

Siasatan kes pinjaman peribadi dan tender projek sekolah itu masih disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain