suria

13 NGO Serah Memorandum Desak Kementerian Pelajaran Pertahan Novel Interlok

PUTRAJAYA: Sebanyak 13 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diketuai Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pelajaran di sini, Selasa.

Memorandul berkenaan bagi mendesak kerajaan mempertahankan penggunaan novel Interlok sebagai salah sebuah novel untuk komponen sastera dalam Bahasa Malaysia Tingkatan Lima bermula tahun ini.

Presiden PENA, Mohamad Saleeh Rahamad berkata, ini kerana Bahagian Buku Teks kementerian telah membuat penilaian secara saksama dan merangkumi semua sudut sebelum memilih menggunakan karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain.

Justeru katanya, soal penghinaan kaum India tidak timbul sama sekali.

"Maka apabila timbul isu daripada unsur politik, maka kita anggap ia sebagai satu ugutan atau provokasi terhadap dasar dan

pemilihan yang dikenakan oleh Kementerian Pelajaran," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional, Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hasan; Timbalan PENA, Amiruddin Md Ali Hanafiah dan Timbalan Yang Dipertua, Majlis Kebudayaan Selangor Darul Ehsan, Zainal Mohd Jais.

Mohamad Saleeh berkata, pihaknya akan menghantar satu memorandum lagi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi mempertahankan pendirian mereka.

Memorandum itu menggariskan 12 sebab utama kenapa Interlok perlu dipertahankan penggunaannya.

Antara sebabnya, Interlok ialah novel sejarah pembinaan bangsa dan pembentukan sebuah negara yang merdeka dan menceritakan pancaroba serta perpaduan antara kaum di Tanah Melayu ketika zaman penjajahan British pada awal abad ke-20 selain sumbangan mereka kepada negara ini.

Mohamad Saleeh berharap perkara tersebut tidak dibiarkan berlarutan kerana ia hanya mengundang pelbagai provokasi daripada pelbagai pihak dan sekiranya tuntutan mereka dipenuhi, ia hanya mencetuskan siri tuntutan yang lain pula.

Beliau turut memberitahu, pengarang novel tersebut telah mendapatkan maklumat terlebih dahulu daripada seorang pensyarah pengajian India di Universiti Malaya pada 1967 sebelum menulis buku tersebut.

"Ia bukan dari daya imaginasi dan beliau mempunyai apa-apa niat politik untuk merendahkan kaum itu," jelasnya.

Sementara itu, Mohamad Ali berkata, tiada cacat cela pada novel tersebut kerana kandungannya adalah menggalakkan perpaduan antara kaum selain menyelitkan iktibar kepada ibu bapa dan masyarakat setempat.

Selain itu, Zainal berkata, novel tersebut bermesejkan 1Malaysia dan objektifnya adalah menyatupadukan masyarakat berbilang kaum negara ini.

Dalam pada itu, Amiruddin berkata, sekiranya novel itu ditarik balik, maka ia bukan sahaja merupakan satu penghinaan kepada panel yang dilantik oleh kementerian untuk memilih novel tersebut sebagai bahan akademik di sekolah bahkan Sasterawan Negara itu sendiri.

Artikel Lain