Polis Temui Ganja, Tahan Pasangan Suami Isteri - Semasa | mStar

Polis Temui Ganja, Tahan Pasangan Suami Isteri

IPOH: Polis menahan sepasang suami isteri serta seorang pelajar, dan merampas ganja seberat satu kilogram dalam bilik di rumah pasangan itu di Kampung Manik, Teluk Intan, kira-kira 100 km dari sini awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Goh Kok Liang berkata lelaki berumur 36 tahun yang merupakan anggota Rela bersama isterinya seorang warga Indonesia berumur 39 tahun dan seorang pelajar berusia 16 tahun itu ditahan di rumah tersebut pada pukul 1.30 pagi hasil maklumat orang awam.

"Semasa diserbu, pasangan suami isteri bersama dua anak lelaki mereka masing-masing berumur enam tahun dan enam bulan, serta pelajar itu, berada di rumah berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata pelajar itu adalah rakan lelaki berkenaan, dan dia dipercayai berada di rumah itu untuk membantu kerja-kerja membungkus ganja kedalam plastik untuk dipasarkan di sekitar Teluk Intan.

Goh berkata polis turut menemui dua butir bom asap, alat penimbang, dua pasang gari, pisau dan beg plastik lut sinar di rumah berkenaan, dan menurutnya polis percaya suspek melakukan kegiatan mengedar dadah sejak beberapa bulan lalu.

Katanya lelaki itu ditahan reman selama tujuh hari, manakala pelajar dan wanita itu direman empat hari bagi membantu siasatan, dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain