suria

PKFZ: Permohonan Stephen Gugur 26 Pertuduhan Pilihan Didengar 28 Januari

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen Klang hari ini menetapkan 28 Januari ini untuk mendengar permohonan Ketua Pegawai Operasi Kuala Dimensi Sdn Bhd, Stephen Abok untuk menggugurkan kesemua 26 pertuduhan pilihan yang dikenakan ke atasnya berkenaan skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Hakim Asmadi Hussin menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam yang mewakili Stephen, Hisham Teh Pok Teik supaya menangguhkan prosiding hari ini kerana memerlukan masa untuk menjawab afidavit yang hanya diterima daripada pihak pendakwaan pada Rabu lepas.

Hisham memberitahu Mahkamah Sesyen Klang yang bersidang di sini hari ini pihaknya juga sedang menunggu wartawan yang menulis artikel "OSK Trustees Unaware of Cheating in PKFZ Case" yang diterbitkan di dalam The Edge Financial Daily bertarikh 10 Nov tahun lepas mengemukakan afidavit bahawa beliau adalah penulis artikel itu.

Katanya pihaknya telah mengutus surat kepada Ketua Pengarang akhbar kewangan itu pada 7 Jan lepas untuk meminta kerjasama daripada wartawan yang menulis artikel itu supaya dapat mengemukakan afidavit berkenaan tetapi masih belum menerima jawapan.

Peguam itu berkata jika pihaknya masih gagal mendapatkan kerjasama daripada wartawan berkenaan beliau terpaksa memohon kepada mahkamah untuk mengeluarkan sapina ke atas wartawan itu untuk hadir ke mahkamah memberi keterangan secara lisan. Ketua Unit Pelucuthakan Harta, Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Dzulkifli Ahmad yang mengetuai pasukan pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa beliau tiada masalah pendengaran hari ini ditangguhkan tetapi memohon supaya tarikh perbicaraan ditetapkan.

Hakim Asmadi kemudian menetapkan tarikh perbicaraan pada 29 hingga 30 Mac, 12 hingga 14 April dan 26 hingga 28 April tahun ini.

Pada 29 Dis lepas, Stephen, 52, seorang daripada tiga individu yang dituduh melakukan penipuan dalam pelaksanaan projek PKFZ itu, memfailkan permohonan untuk menggugurkan kesemua 26 pertuduhan pilihan yang dikenakan ke atasnya dan mahkamah menetapkan hari ini untuk mendengar permohonan itu.

Stephen, bekas Pengurus projek Kuala Dimensi, Law Jenn Dong, 52 dan arkitek Bernard Tan Seng Swee, 49, dari BTA Architect mengaku tidak bersalah pada 8 Nov lepas atas 24 pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees Bhd untuk membuat pembayaran berjumlah RM116.85 juta kepada Kuala Dimensi bagi dua projek di PKFZ.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di OSK Trustees Bhd, Plaza OSK Ampang antara 30 Jun 2006 sehingga 20 Jun 2008. Ketiga-tiga mereka didakwa menipu OSK Trustees untuk mempercayai bahawa kerja-kerja infrastruktur elektrik untuk sistem 33kV bagi PKFZ, Pulau Indah telah dilaksanakan sedangkan mereka mengetahui bahawa kerja-kerja itu tidak dilaksanakan.

Mereka juga didakwa menipu OSK Trustees untuk mempercayai bahawa sistem elektrikal 33kV ke Precint 2 dan Precint 8 bagi PKFZ telah dilaksanakan sedangkan mereka mengetahui kerja-kerja itu tidak dilaksanakan.

Tindakan mereka itu didakwa telah mendorong OSK Trustees untuk membuat pembayaran berjumlah RM116.85 juta.

Selain itu, Stephen dan Tan juga mengaku tidak bersalah pada 8 Nov lepas terhadap dua lagi pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees di antara 31 Julai 2007 dan 8 Oktober 2008 dengan memperdaya syarikat pemegang amanah itu untuk mempercayai bahawa sistem 33kV ke Precint 2 dan Precint 8 bagi PKFZ telah dilaksanakan.

Justeru, tindakan mereka telah mendorong OSK Trustees membayar RM5.42 juta kepada Kuala Dimensi.

Bagi setiap pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda jika disabitkan kesalahan.

Sebelum ini, Stephen dan Tan mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan asal menipu Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membabitkan tuntutan RM5.42 juta pada 31 Julai dan 21 September 2007.

Tan dan Law pula menghadapi 24 pertuduhan asal menipu LPK bagi mendapatkan pengesahan pembayaran sebanyak RM116.85 juta kepada Kuala Dimensi melibatkan dua projek yang sama antara 30 Jun 2006 dan 30 Mei 2008.

Pada prosiding hari ini, Law diwakili peguam belanya Tan Hock Chuan manakala Tan diwakili oleh Datuk V.Sithambaram. -BERNAMA

Artikel Lain