suria

Pimpinan BN Diminta Pertimbang Calon Wanita Di Tenang - Shahrizat

LABIS: Pergerakan Wanita Umno meminta pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) memberi pertimbangan sewajarnya untuk meletakkan calon wanita pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Tenang 30 Januari ini.

Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengesahkan pergerakan itu telah mencadangkan nama Ketua Wanita Umno bahagian Labis Haslinda Salleh sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil berkenaan.

"Bagaimanapun kita menyerahkan kepada pertimbangan Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri dan Presiden BN) untuk memutuskannya," katanya kepada pemberita di Kampung Sawah Baru, di sini, Isnin.

Beliau meminta pucuk pimpinan BN tidak meminggirkan nama calon-calon wanita kerana pemimpin wanita sebagaimana pemimpin lelaki, telah menunjukkan rekod perkhidmatan yang baik selama ini.

Calon-calon wanita, menurut Shahrizat, perlu diberi pertimbangan yang sama rata oleh BN dalam usaha mereka memilih pemimpin yang berkebolehan untuk dijadikan calon bagi pilihan raya kecil itu.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya allahyarham Datuk Sulaiman Taha daripada BN pada 17 Disember akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis.

Proses penamaan calon akan diadakan pada 22 Januari ini.

Shahrizat berkata pimpinan BN perlu mengambil kira peratusan pengundi wanita di DUN Tenang yang hampir sama jumlahnya dengan bilangan pengundi lelaki dalam penentuan calon bagi mewakili BN.

PAS yang telah mengesahkan akan meletak calon pada pilihan raya kecil ini, dikatakan sedang menimbang secara mendalam untuk meletakkan seorang pemimpin Muslimatnya sebagai calon bagi kerusi DUN itu.

Sementara itu, Shahrizat berkata program pembasmian kemiskinan tegar yang dijalankan oleh kementeriannya berjaya meningkatkan pendapatan 44,643 isirumah di seluruh negara.

Katanya jumlah isirumah yang berjaya dibawa keluar daripada kemiskinan tegar itu merupakan 99.75 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah miskin tegar negara ini berdasarkan kepada data e-Kasih.

Terdahulu, Shahrizat melawat rumah Ghafar Abdullah, yang merupakan salah seorang peserta program 1Azam Niaga, yang direka untuk membantu golongan miskin keluar daripada kepompong kemiskinan menerusi aktiviti perniagaan. -BERNAMA

Artikel Lain