suria

Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat Terima Rasuah Dipenjara 6 Bulan

SHAH ALAM: Seorang Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat dihukum penjara selama enam bulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, selepas disabitkan bersalah bersetuju menerima barangan berharga yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.

Hakim Mat Ghani Abdullah turut memerintahkan supaya Norhanizatuazwin Samsuni, 30, dipenjarakan selama lima bulan, jika gagal membayar denda tersebut.

Bagaimanapun, Mat Ghani membenarkan permohonan pelaksanaan hukuman penjara yang dipohon tertuduh menerusi peguam K. Puspalingam dan mengekalkan jaminan RM5,000 bagi tujuan tersebut.

Perbicaraan melibatkan keterangan daripada 13 saksi pendakwaan, manakala tertuduh yang beralamat di Kampung Sri Kundang, Rawang, dekat sini memanggil ibunya untuk menyokong pembelaannya.

Norhanizatuazwin didakwa bersetuju menerima cek bernilai RM10,000 dari Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Winmont Development Sdn Bhd, Datuk Lau Kim Soo sebagai sebahagian bayaran rumahnya di C-4-25, Rumah Pangsa, Kajang Impian, dekat sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 12.30 tengah hari, 14 Mac 2009 di pejabat Trans Loyal Development Sdn Bhd di nombor 45A, Jalan Bukit Mewah, Kajang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan semasa tertuduh bertugas di Pejabat Daerah/Tanah, Hulu Langat dan dia telah menandatangai surat kelulusan bertarikh 5 Februari 2009 permohonan syarikat tersebut menjalankan perniagaan pengeluaran pasir dari Sungai Long, Kajang untuk dijual.

Rumah pangsa tersebut didakwa dibeli oleh tertuduh pada harga RM50,000.

Wanita bertubuh kecil itu mula berkerja pada 18 Jun 2007 dan ditangkap apda 20 Januari 2010 dan merupakan salah seorang daripada 38 individu yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di beberapa negeri berhubung isu permohonan permit pasir.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM dari Muhammad Sinti mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Puspalingam terdahulu merayu agar hukuman terhadap anak guamnya diringankan atas hukuman kerana tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap selepas digantung kerja atas kesalahan tersebut.

“Tertuduh perlu menanggung ibu bapa yang sudah tua dan seorang anak. Dia juga perlu membayar bayaran ansuran rumah,” katanya.

Muhammad bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh atas faktor kepentingan awam.

“Tertuduh seharusnya memikirkan kesusahan yang akan dialami oleh keluarganya sebelum melakukan kesalahan ini,” katanya.

Artikel Lain