suria

KPDNKK Serbu Premis Bungkus Minyak Masak Tanpa Lesen

MARANG: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu menyerbu sebuah premis pembungkusan minyak masak yang dipercayai beroperasi tanpa lesen yang sah di Kampung Padang Lebam, Bukit Payong pada Selasa.

Pemangku Pengarah KPDNKK negeri Abd Ghani Harun berkata dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu, sebanyak 4,000 kilogram minyak masak bernilai RM10,000 turut dirampas.

"Kita sedang membuat siasatan dari mana bekalan minyak masak ini diperolehi, sedangkan pemborong ini tidak mempunyai satu lesen yang sah," katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi tersebut, di sini.

Operasi itu disertai kira-kira 10 pegawai dan anggota KPDNKK Terengganu.

Abd Ghani berkata pemborong berkenaan dipercayai telah melakukan aktiviti itu lebih setahun.

Katanya premis tersebut turut disita bagi membolehkan siasatan lanjut dan pemborong berkenaan akan didakwa di mahkamah di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100,000.

Abd Ghani berkata secara umumnya Terengganu tidak menghadapi masalah bekalan minyak masak, dan bekalan sedia ada dijamin mencukupi.

Terengganu, katanya diberikan kuota sebanyak 1,800 tan metrik sebulan bagi menampung keperluan pengguna di negeri itu. -BERNAMA

Artikel Lain