suria

Ghapur Dakwa Berlaku Pilih Kasih Dalam Penguatkuasaan Peraturan Maritim

TAWAU: Agensi penguatkuasa berkaitan undang-undang maritim di Tawau diminta supaya tidak bersikap pilih kasih ketika melaksanakan peraturan membawa barangan keperluan asas ke Pulau Sebatik.

Anggota Parlimen Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh berkata tindakan penguatkuasa dan agensi berkenaan menahan barangan keperluan asas seperti gula, minyak, beras dan tepung yang dibawa penduduk ke Pulau Sebatik adalah tidak wajar.

"Saya banyak menerima aduan daripada penduduk kampung (bahawa) ada orang luar membawa keperluan asas ini diseludup keluar hingga ke negara jiran tetapi tidak ditahan. Kenapa penduduk kampung yang membawa masuk untuk keperluan asas orang kampung ditahan.

"Janganlah berkeras sangat dengan penduduk kampung tetapi orang luar yang membawa banyak barangan kita keluar ke negara jiran dilepaskan pula," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Ghapur berkata walaupun beliau tidak mahu menuding jari kepada sesiapa, beliau tidak menolak kemungkinan wujud dalang sehingga barangan dari Tawau mudah diseludup keluar ke negara jiran.

"Kita mahu agensi-agensi yang berkaitan memantau perkara ini dan jangan tangkap 'anak-anak kecil' sahaja tetapi 'ikan-ikan besar' pun tangkap juga. Ini baru adil," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain