suria

Dua Lelaki Miliki Pistol Tiruan Dan Pedang Samurai Ditahan

ALOR SETAR: Dua lelaki yang memiliki sepucuk pistol tiruan bersama empat butir peluru "ball bearing" dan sebilah pedang samurai ditahan dalam sekatan jalan raya di simpang Kuala Kedah dekat sini semalam.

Mereka yang berumur 20 dan 36 tahun ditahan kerana cuba meloloskan diri daripada sekatan yang dibuat, kira-kira 5.30 petang.

"Namun mereka yang menaiki kereta jenis Proton Wira Aeroback tidak dapat melepaskan diri daripada sekatan yang kita buat kerana kita melakukan sekatan tiga penjuru dan disebabkan tindakan mereka itu, anggota kita telah mengejar mereka sehingga kompleks kargo yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat sekatan.

"Semasa polis menahan kereta suspek, salah seorang daripada suspek telah keluar dari kereta itu dan cuba melawan anggota polis dengan mengacukan pedang samurai.

"Tetapi dengan kecekapan anggota polis, mereka berjaya menahan kedua-dua suspek dan tiada sebarang kecederaan berlaku di kedua-dua pihak," kata Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supritendan Baharom Abu.

Beliau berkata hasil siasatan terhadap kereta itu, pihak polis menjumpai sepucuk pistol yang dibalut dengan baju T yang diletakkan di tempat duduk belakang dan beberapa alat pecah rumah. "Siasatan juga mendapati mereka ini terlibat dengan kes-kes pecah rumah dan curi kereta di sekitar Alor Setar dan yang terbaru pada Sabtu lepas mereka juga disyaki telah memecah rumah seorang pegawai bank di Taman Pulasan dekat sini," katanya.

Beliau berkata dengan tertangkap dua penjenayah yang dikehendaki itu, polis berjaya menyelesaikan tujuh hingga lapan kes rompakan bersenjata di sekitar bandar raya ini.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Dalam operasi membanteras samseng jalanan itu juga, sebanyak 31 buah motosikal, sebuah jip dan lapan kereta termasuk sebuah kereta curi disita dalam operasi mulai 5 petang dan tamat berakhir kira-kira 10 malam. -BERNAMA

Artikel Lain