suria

Bayi Empat Bulan Meninggal Alami Kesukaran Bernafas

KULIM: Seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang mengalami kesukaran bernafas di rumah pengasuhnya meninggal dunia di Hospital Kulim di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Ghuzlan Mohd Salleh berkata bayi itu Adruce Armand Dhani dihantar ibunya Norjehan Saunjandi, 35, seorang jurutera kanan kilang, ke sebuah rumah yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya untuk dijaga seorang ibu tunggal berusia 54 tahun kira-kira pukul 8.30 pagi ini.

"Kira-kira pukul 1 tengah hari suami Norjehan, Amir Faris Abdul Rahim, 34, mendapat panggilan telefon memaklumkan anaknya itu berada di wad Hospital Kulim kerana 'sakit sedikit'," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, setibanya di hospital pada pukul 1.30 petang, Amir Faris mendapat pengesahan daripada doktor bahawa anaknya telah meninggal dunia.

Polis kini menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian bayi itu, katanya.

Sementara itu, Amir Faris ketika ditemui di rumahnya di Taman Kulim Technocity II, Kulim Hi-Tech Park (KHTP) di sini berkata pagi ini beliau menghantar anak sulungnya Adam Arrayan, 2, ke Pusat Asuhan Kanak-Kanak di kawasan perumahan itu manakala isterinya pula menghantar anak kedua mereka ke rumah pengasuh berkenaan sebelum mereka ke tempat kerja di Kilang Silterra, KHTP.

Beliau berkata ketika dibawa ke rumah pengasuh itu, anaknya tidak menunjukkan keadaan tidak sihat. Amir Faris berkata beliau mendapat dua panggilan telefon tengah hari tadi iaitu satu panggilan daripada seseorang yang tidak dikenali dan satu lagi daripada pihak hospital memintanya ke hospital kerana anaknya dimasukkan ke wad.

"Saya telah bertanya kepada pengasuh dan dimaklumkan wanita itu mendapati bayi saya berada dalam keadaan tertiarap di tempat tidur setelah dia keluar dari bilik air," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain