suria

Selangor Tetap Adakan Sidang Tergempar Dewan Penghujung Januari

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini berkata kerajaan negeri akan tetap mengadakan sidang tergempar dewan undangan negeri akhir bulan ini bagi meminda undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959.

Sehubungan itu, kerajaan negeri telah melantik Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Prof Datuk Dr Abdul Aziz Bari dan peguam Datuk Param Cumaraswamy bagi menyediakan draf pindaan Seksyen 52 Undang-undang Tubuh Negeri Selangor, katanya kepada pemberita di sini selepas melancarkan Majlis Anti Pemerdagangan Manusia Negeri Selangor (MAPMAS) di sini Isnin.

Abdul Khalid berkata demikian semasa ditanya mengapa kerajaan negeri ingin meneruskan sidang tergempar dewan bagi meminda undang-undang itu sedangkan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tidak mempunyai 37 kerusi yang merupakan undi yang diperlukan daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mendapatkan undi majoriti dua pertiga.

Daripada 56 kerusi DUN, pakatan pembangkang mempunyai 35 kerusi iaitu 14 PKR, 13 DAP, lapan PAS dan seorang ADUN Bebas manakala Barisan Nasional (BN) mempunyai 20 kerusi.

Beliau berkata Param dan Abdul Aziz telah mencadangkan supaya perkara itu tidak dibincangkan di khalayak ramai sehingga dibincangkan di dalam dewan.

Ditanya sama ada cadangan pindaan itu akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor, Abdul Khalid berkata beliau akan meneliti perkara itu dan ia bergantung kepada cadangan peguam.

Abdul Khalid berkata sidang dewan itu bertujuan mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam melantik ketiga-tiga pegawai tinggi dalam pentadbiran kerajaan negeri itu. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain