suria

PRK (N.05) Tenang: Umno, PAS Dijangka Calonkan Wanita

PETALING JAYA: Umno hampir pasti meletakkan calon tempatan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang akan berlangsung pada 30 Januari ini.

Menurut Ketua Penerangan Umno Bahagian Tenang, Kamarul Hairi, parti itu akan memilih calon yang boleh bekerja dan diterima oleh pengundi di kawasan tersebut.

"Kita sudah pasti akan memilih calon yang baik dan diterima oleh pengundi, itu kriteria utama.

"Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan umumkannya. Bila saya tak boleh beritahu sekarang,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai calon Barisan Nasional pada pilihan raya kecil DUN Tenang.

Sebelum ini, khabar angin mengatakan Umno menyenaraikan nama Ketua Wanita Umno Bahagian Labis, Haslinda Salleh, 39, sebagai antara calon yang sedang diberi pertimbangan bersama pemangku Ketua Umno bahagian, Rusdin Mahmud dan Naib Ketuanya, Hashim Daud.

Haslinda yang juga seorang usahawan pernah mengetuai Puteri Umno Bahagian Labis, mengambil alih jawatan Ketua Wanita Umno bahagian pada 2008.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali turut mengesahkan parti itu akan menurunkan calon tempatan bagi berhadapan dengan calon Umno.

"Calonnya memang orang tempatan, tapi saya tak boleh umumkan sekarang. Kita tunggu 16 Januari nanti, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan umumkan siapa calonnya," katanya.

Beliau berkata calon itu dipilih daripada senarai nama calon yang diserahkan oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad.

Ketika ditanya adakah PAS akan meletakkan calon wanita pada pilihan raya kecil kali ini, Mustafa berkata: "Apa yang boleh saya kata, dia orang tempatan berasal dari Segamat. Jangan tanya lebih-lebih."

Sebelum ini, PAS dikatakan hampir pasti menamakan Ketua Dewan Muslimat Labis, Normala Sudirman, 38, yang baru saja meletakkan jawatannya sebagai guru, dipercayai sebagai persiapan awal bagi membolehkan beliau dicalonkan bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Normala yang juga ibu kepada tiga anak dan berkahwin dengan seorang guru yang mengajar di Tenang, adalah anak kelahiran Serom Tiga, Ledang, berlatar belakangkan pendidikan diploma dari Maktab Perguruan Tuanku Bainun, Pulau Pinang dan sebelum ini mengajar di Sekolah Kebangsaan LKTP Kemelah, Segamat.

Bukan itu sahaja, pilihan raya kecil DUN Tenang dikatakan bakal menyaksikanv saingat tiga penjuru berikutan pengumuman seorang pemimpin tempatan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Pekerja Ladang (NUPW), G Sivanandan, 50, semalam yang berhasrat bertanding sebagai calon Bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 22 Januari depan sebagai tarikh penamaan calon dan pengundian pada 30 Januari.

Kerusi DUN itu kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember tahun lepas.

Allahyarham yang mewakili Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 2,491 undi mengatasi calon PAS, Mohd Saim Siran.

Artikel Berikut

Artikel Lain