suria

Pembunuhan Banting: Semakan, Rayuan Tertuduh Hapus Bukti 26 Januari

SHAH ALAM: Permohonan rayuan dan semakan yang difailkan oleh seorang pekerja ladang, K. Sarawanan terhadap hukuman penjara tujuh tahun kerana melupuskan bahan bukti pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati dan tiga individu yang lain akan didengar pada 26 dan 31 Januari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wira Mohtarudin ‘dengan berat hati' pada Isnin, membenarkan permohonan peguam Amer Hamzah Arshad untuk menangguhkan kes yang pada asalnya dijadualkan berjalan hari ini.

Amer Hamzah mewakili seorang peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Kathavarayan, 30, yang didakwa melakukan pembunuhan itu memfailkan notis usul untuk menjadi pencelah dalam permohonan yang difailkan oleh Sarawanan.

Pada prosiding itu, Amer Hamzah memohon diberikan penangguhan kerana menurutnya ‘berlaku beberapa perkara di luar kawalan’ seperti kelewatan afidavit jawapan pihak pendakwa raya yang diterima pada Jumaat lalu.

“Ia agak mustahil untuk kami menerima arahan dan untuk kami mengikrarkan jawapan anak guam yang ditahan di dua penjara berlainan (kajang dan Sungai Buloh, dekat sini) dalam masa dua hari,“ katanya.

Selain itu, beliau juga memaklumkan kegagalan pihaknya untuk menyerahkan notis usul untuk mencelah kepada firma guaman yang pernah mewakili Sarawanan, 19, pada prosiding yang dijalankan di Mahkamah Telok Datok, Banting, dekat sini.

“Beberapa percubaan telah dilakukan, tetapi gagal. Kami juga telah menghubungi Majlis Peguam untuk mendapatkan alamat Tetuan Sulie & Co, namun notis usul tidak dapat diserahkan kerana tiada orang di pejabat,” katanya.

Mohtarudin kemudiannya menyifatkan permohonan Amer Hamzah sebagai ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’.

“Jika saya tidak membenarkan kes ditangguh, nampak saya tidak adil. Tetapi jika saya beri penangguhan, persepsi orang bahawa mahkamah mudah memberi penangguhan,” katanya.

Bagaimanapun demi keadilan, Mohtarudin bersetuju untuk menangguhkan kes, yang merupakan penangguhan kali keempat.

Pada prosiding itu, barisan pendakwaan diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Idham Abd Ghani dan Saiful Edris Zainuddin.

Pada 24 November lalu, Sarawanan yang diwakili peguam-peguam Datuk Harpal Singh Grewal dan A.S Dhaliwal memfailkan notis usul bagi mengemukakan bukti baru berhubung dakwaan berlaku paksaan untuk dia mengaku salah pada prosiding di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting.

Semasa itu, dia yang diwakili oleh peguam berlainan mengaku bersalah atas tuduhan membakar mayat Sosilawati, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, peguam peribadi, Ahmad Kamal Abdul Rahim dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin.

Turut mengaku salah ialah rakan sekerja tertuduh, U. Suresh, 26, bagi tuduhan membuang abu mayat semua mangsa di Sungai Panchau, Banting.

Majistret Hurman Hussain pada 15 Oktober lalu atas pengakuan tersebut memerintahkan Sarawanan dan Suresh dihukum penjara selama tujuh tahun bermula daripada tarikh tangkap, iaitu 9 September 2010.

Kedua-dua mereka akan menjadi saksi pendakwaan terhadap Pathamanabhan, Thilayagan, Matan dan Kathavarayan yang didakwa membunuh semua mangsa antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos lalu di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, di sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kes tersebut ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 Januari ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain