suria

Pemandu Lori Hadapi Lapan Tuduhan Rogol

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas lapan pertuduhan merogol seorang remaja yang dikatakan dikenali menerusi ruangan iklan sebuah majalah.

Lim Seong Guan, 37, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Dia didakwa merogol mangsa yang berusia 15 tahun antara 16 Disember dan 30 Disember 2010 di sebuah bilik hotel di Jalan Pudu, di sini.

Pendakwaan terhadapnya dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ainnur Amieyra Abdullah mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, peguam Dev Kumaraendran yang mewakili tertuduh memohon jaminan yang rendah dapat diberikan atas alasan faktor kewangan.

Fathiyah membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM30,000 dengan dua orang penjamin dan kes akan dibicarakan pada 6 dan 7 Jun depan.

Artikel Berikut

Artikel Lain