suria

Mahkamah Tetapkan 24 Januari Bantahan Awal Kes Pengarang Buku

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 24 Januari untuk mendengar bantahan awal permohonan semakan kehakiman pengarang Yong Thye Chong atas tindakan kerajaan menyita 33 bukunya bertajuk "The March to Putrajaya-Malaysia's New Era Is At Hand."

Hakim Datuk Rohana Yusuf menetapkan tarikh itu di dalam kamar setelah dipohon Peguam Kanan Persekutuan Noor Hisham Ismail yang mewakili Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Penolong Penguasa Zul Azhar Mokhtar, Ketua Inspektor Nahar Yamen, Penolong Penguasa Mohd Fahmi Daraman Sah dan kerajaan Malaysia.

Turut hadir peguam K. Shanmuga yang mewakili Yong, 72, atau nama penanya Kim Quek dan syarikat penerbitan Oriengroup Sdn Bhd.

Pada 3 November tahun lepas Yong dan syarikat penerbitannya menuntut satu deklarasi bahawa penyitaan 33 buku itu pada 19 Ogos tahun lalu iaitu 20 buah di Popular Book Store di Megamall Kuantan, Pahang; Melaka Shopping Centre di Ayer Keroh, Melaka (empat buku); Popular Book Store di Cheras Leisure Mall, di sini (enam buku) dan Koperasi Kedai Buku Universiti Malaya Bhd di Universiti Malaya (tiga buku) di sini adalah batal dan tidak sah.

Kim Quek turut memohon semakan terhadap perintah larangan percetakan, pengimportan, penghasilan dan penerbitan buku berkenaan. Di dalam permohonan itu, Yong seorang jurutera bersara mendakwa bukunya setebal 361 muka surat itu merupakan koleksi beberapa rencana yang ditulisnya mengenai hal semasa di dalam dunia politik dan hal ehwal kerajaan Malaysia, yang diterbit dan diedarkan pada sekitar Mac 2010.

Katanya penyitaan itu adalah menyalahi undang-undang kerana ia mengingkari hak kebebasan bersuara sebagai rakyat dan pendapat yang terdapat di dalam buku itu adalah mengenai rencana politik tentang dasar kerajaan yang telahpun diterbitkan di internet antara 2006 hingga 2010.

Penyitaan dan perintah larangan itu adalah ultra vires dan tidak sah, katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain