suria

Lelaki Warga Republik Czech Bebas Tuduhan Menipu

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang lelaki warganegara Republik Czech daripada tuduhan cuba memperdayakan seorang peniaga minyak untuk menjual cek bernilai RM480 juta dengan harga RM336 juta, pada Mac tahun lepas.

Hakim Asmadi Hussin memutuskan sedemikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abd Aziz memaklumkan bahawa pihaknya ingin menggugurkan pertuduhan ke atas Antonin Posposil, 68, berikutan pengadu dalam kes itu menarik balik aduan terhadap tertuduh.

Asmadi membuat keputusan itu dalam kamarnya.

Peguam P. Yugan yang mewakili Posposil ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, berkata kes itu sepatutnya ditetapkan untuk perbicaraan pada hari ini tetapi selepas dimaklumkan mengenai hasrat pihak pendakwaan untuk menggugurkan pertuduhan, pihaknya memohon agar mahkamah melepas dan membebaskan anak guamnya.

Pada 18 Mac tahun lepas, Posposil yang merupakan presiden sebuah syarikat di negaranya mengaku tidak bersalah cuba menipu V. Mahendren, 31, supaya mempercayai satu cek bernilai RM480 juta dijual dengan harga RM336 juta di No 19, Jalan Mata Kucing, Telok Gadong dekat sini, pada pukul 11.30 petang pada 22 Februari tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain