suria

Kastam P. Pinang Tahan Warga Iran, Rampas Dadah Bernilai RM875,000

BUTTERWORTH: Kastam Pulau Pinang menahan seorang lelaki warga Iran di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) semalam dan merampas dadah dipercayai jenis syabu seberat 3.5 kilogram bernilai RM875,00.

Timbalan Pengarah Kastam (Bahagian Penguatkuasaan) negeri R. Mariappa berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira 11.30 pagi selepas imbasan pada bagasinya menunjukkan imej meragukan.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan pasukan Penguatkuasa Narkotik berjaya menemui sekeping kertas keras berwarna putih yang disorokkan di ruang khas dalam beg itu.

"Pemeriksaan lanjut ke atas kertas keras itu kita menemui sebungkus plastik lutsinar yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu," katanya pada sidang media, di sini Isnin.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki itu yang telah beberapa kali memasuki Pulau Pinang, terbang dari Doha, Qatar.

"Penerbangannya transit di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa KL) sebelum tiba di PIA," katanya.

Mariappa berkata pihaknya percaya lelaki tersebut mempunyai kaitan dengan sindiket dadah antarabangsa berdasarkan jumlah dadah yang besar.

Katanya lelaki itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori. Sementara itu, mengulas isu berbeza

Mariappa berkata sepanjang tahun lepas, pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis barang larangan dan barang bercukai bernilai kira-kira RM28.8 juta dengan nilai cukai sebanyak RM55.4 juta.

"Bagi tempoh yang sama, Kastam Pulau Pinang juga merekodkan 385 kes yang melibatkan pelbagai kesalahan menurut Akta Kastam 1967 dan menahan 310 orang yang disyaki terlibat dalam kesalahan penyeludupan," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain