suria

Jentera Pilihan Raya BN Perlu Terus Dampingi Pengundi Di Tenang

BANGI: Jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) perlu terus mendampingi para pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dan bukannya berasa selesa dengan sokongan sedia ada, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Katanya segala rintihan mereka perlu didengar dan segala masalah yang dibangkitkan perlu diselesaikan.

"Kita yakin dengan keupayaan jentera kita. Kita akan pastikan dengan kerjasama antara komponen parti dan berusaha mendekati rakyat, pastinya kemenangan akan berpihak kepada kita," kata Mohd Shafie, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementerian itu di sini, Isnin.

Mohd Shafie berkata BN sudah membuktikan kemampuannya untuk membela nasib penduduk di kawasan itu tanpa mengira kaum, sekaligus menolak dakwaan parti itu mengabaikan kaum tertentu dalam bidang tertentu.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi DUN itu ditetapkan pada 22 Januari dan hari pengundian pada 30 Januari.

Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi selepas kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lepas.

Mengenai langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menemui setiap wakil rakyat BN Sabtu lalu, beliau berkata ia adalah satu transformasi politik bagi memastikan kepentingan rakyat terus terbela.

"Langkah ini jelas menunjukkan Perdana Menteri memberi ruang kepada wakil rakyat BN untuk berbincang dan mengenal pasti masalah rakyat di kawasan masing-masing, sekaligus akan memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie berkata Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menaja 25,000 pelajar daripada pelbagai bidang terutamanya Sains dan Matematik pada tahun ini, bagi melahirkan lebih ramai pelajar Bumiputera cemerlang.

Daripada jumlah itu, MARA mensasarkan untuk menghasilkan 10,000 profesional, 500 pemimpin perniagaan dan awam, 500 teknoprenur dan 4,000 pelajar cemerlang, yang merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan modal insan agensi itu.

"Tahun ini, saya mahu memastikan MARA dapat menjadi peneraju pembangunan modal insan.

"Walaupun ia adalah bidang utama MARA sejak dulu, tetapi ia perlu diperluaskan supaya dapat melahirkan modal insan yang benar-benar berkualiti," katanya.

Katanya selain sektor pendidikan dan latihan kemahiran, agensi itu juga perlu memperbaiki tiga lagi sektor utamanya iaitu keusahawanan, pelaburan dan pengurusan sebagai langkah transformasi ke arah status Bumiputera berpendapatan tinggi. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain