suria

Bila Dah Jadi Pemimpin...

Ya...bukan mudah nak jadi pemimpin. Pemimpin bukan sahaja bertanggungjawab terhadap dirinya tetapi juga terhadap masyarakat dan institusi yang diwakilinya. Wakil rakyat kena jaga kawasan.

Ketua polis jaga keselamatan awam dan negara. Ketua jabatan jaga jabatan dan jadi menteri bukan sahaja kena jaga kementerian tetapi juga pada masa yang sama kena juga jaga kawasan (kalau dia ahli Parlimen) dan jaga negara.

Ini belum lagi jadi perdana menteri yang segala macam isu dan hal ehwal negara tertanggung bukan sahaja di bahu beliau tetapi juga atas dirinya sebagai kepala negara.

Malah ada yang dilantik sebagai pemimpin tiba-tiba berhadapan dengan krisis dan isu sepertimana yang sedang dihadapi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru, Datuk Mohamad Khusrin Munawi walaupun bukan beliau yang memohon untuk menduduki jawatan tersebut.

Tetapi sebaik sahaja beliau menerima watikah pelantikan, secara automatik pertanggungjawaban itu terpikul di bahu beliau.

Walaupun pelantikannya itu tidak disukai oleh menteri besar dan exco-exco kerajaan negeri dan percubaan masih lagi diusahakan untuk menafikan pelantikannya itu walaupun telah mendapat perkenan Istana dan mengangkat sumpah taat setia kepada raja dan negeri tetapi sebagai penjawat awam yang menurut perintah, beliau menerima cabaran yang sedang melanda walaupun di hatinya tiada siapa yang tahu apa yang sedang bermain.

Malah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sepatutnya tidak terpalit dengan kontroversi yang sedang melanda kerajaan negeri, tidak terkecuali daripada turut diheret bersama. Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri di negeri baginda sendiri menulis di dalam laman blognya mempertikaikan perkenan Sultan di atas pelantikan Khusrin sebagai “beraja di mata bersultan dihati” - yang secara kasar boleh ditafsirkan sebagai melakukan sesuatu mengikut kehendak hati.

Tetapi sebagai Raja Berperlembagaan, baginda telah memainkan peranan baginda sebaik yang mungkin iaitu dengan memberi teguran dan nasihat sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang. Itu pun nasihat baginda yang dikeluarkan melalui setiausaha sulit baginda turut dipertikaikan oleh mereka yang enggan menerima pelantikan Khusrin.

Dan kini, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim sebagai seorang pemimpin juga mendapati dirinya tidak terlepas daripada berada di tengah-tengah kontroversi yang sangat panas. Beliau telah menjadi subjek tuduhan dan dakwaan yang sudah tentunya tidak seronok untuk didengar.

Dakwaan ke atas beliau sangat berat malah jauh lebih berat daripada apa yang orang perkatakan tentang anaknya. Beliau dituduh memperkosa orang gajinya sendiri. Kejadian ini didakwa berlaku empat tahun lalu iaitu ketika beliau berkhidmat di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.

Tidak cukup dengan itu, Abdullah turut diheret bersama dalam kontroversi ini dengan dikatakan cuba melindungi Rais dengan tidak mengambil apa-apa tindakan (sedangkan tidak ada aduan rasmi dibuat di mana-mana balai polis berkaitan kes ini - setakat yang kita tahu - sehinggalah laporan rasmi dibuat minggu ini oleh pemimpin Keadilan, Badrul Hisham Shaharin dari Negeri Sembilan).

Walaupun orang gaji nya itu telah membuat satu kenyataan rasmi di Jabatan Tenaga Kerja Indonesia pada Jumaat menafikannya yang dirinya dirogol oleh Rais sebagaimana yang didakwa tetapi hakikatnya, apa yang bermula sebagai posting di dalam blog telah menjadi isu besar yang diperkatakan secara terbuka sekarang.

Ini memaksa Rais untuk keluar dengan penafian yang tegas bahawa apa yang didakwa itu sebagai satu pembohongan jahat dan jijik serta percubaan untuk mengaibkannya yang rekod perkhidmatannya tidak pernah tercalar selama 40 tahun berkhidmat sebagai anggota pentadbiran dan penjawat awam.

Malah pada petang Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru orang ramai supaya jangan lekas menjatuhkan hukum atau membuat andaian ke atas dakwaan tersebut kerana ia hanyalah satu dakwaan yang masih belum pun disiasat pihak berkuasa.

Untuk berlaku adil pada Rais, dakwaan ini bukan sahaja perlu mempunyai asas dan bukti yang kukuh tetapi wajar diberi ruang untuk pihak berkuasa menjalankan siasatan tanpa perlu terus menerus menuduh Rais kerana ia adalah satu dakwaan yang serius dan tidak harus dijadikan mainan politik.

Malangnya ini tidak berlaku dan masih terdapat beberapa bloger dalam nada yang sinis terus menerus mempersoalkan kredibiliti Rais dan pihak berkuasa dalam menangani kes ini. Malah Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dengan pantas mengeluarkan kenyataan yang meminta agar Rais segera digantung tugas sehingga siasatan ke atasnya selesai.

Ini sama sekali tidak wajar kerana siasatan yang hendak dilakukan itu tidak ada kaitan dengan kementerian yang diterajui Rais sehingga jika tidak mengantung tugasnya, beliau bakal menganggu siasatan berkenaan. Zuraida tahu terasa hati dan mempertikaikan kenyataan Rais yang mendakwa pihak pembangkang dan bloger lah yang menjadi dalang dalam usaha untuk memalukannya dan menuntut Rais agar segera meminta maaf.

Zuraidah kata, dakwaan Rais ke atas pembangkang itu sesuatu yang serius. Tidakkah beliau juga terfikir kenyataannya yang mendesak agar Rais segera digantung tugas tanpa terlebih dahulu memberi ruang kepada Rais mempertahankan dirinya daripada segala dakwaan itu juga adalah sesuatu yang keterlaluan. Dan tidakkah Rais sepertimana Zuraidah juga berhak menuntut mereka yang menuduhnya memperkosa tanpa bukti yang nyata dan jelas memohon maaf kepadanya?

****

MEREKA ADALAH SATU INSTITUSI...

Dan bercakap tentang penjawat awam seperti Datuk Khusrin dan Raja Berperlembagaan sepertimana Sultan Selangor, orang ramai termasuk mereka yang tidak ada pengalaman memerintah seperti Pakatan Rakyat haruslah faham bahawa kedua-duanya adalah merupakan satu institusi di dalam perlembagaan negara kita.

Orang politik boleh datang dan pergi tetapi para birokrat iaitu pegawai kerajaan dan raja-raja akan terus kekal selama-lamanya di dalam sistem kenegaraan kerana mereka adalah sebahagian daripada institusi itu yang membentuk sebuah kerajaan yang berperlembagaan.

Kedudukan mereka sangat istimewa dan terpelihara di dalam negara ini. Mempertikaikan tindak-tanduk Ketua Setiausaha Negara (KSN) memilih Khusrin sebagai ketua pentadbir di negeri Selangor dan mempersoalkan keputusan Raja untuk memperkenankan pelantikan tersebut samalah seperti seolah-olah hendak mengatakan yang ketua pentadbir negara seperti KSN kita tidak tahu undang-undang dan tidak faham cara sistem pentadbiran dijalankan sedangkan merekalah penggerak dan pentadbir sistem.

Sudah tentulah KSN sebelum meneruskan tugasnya dengan membuat pelantikan itu terlebih dahulu akan merujuk kepada undang-undang tubuh negeri dan peraturan am perkhidmatan awam kerana mereka inilah penjawat yang menjaga, mengubal dan melaksanakan segala bentuk sistem pentadbiran awam di negara kita.

Jika peraturan ini hendak diubah, perlembagaan atau undang-undang tubuh hendaklah terlebih dahulu dipinda bagi menyesuaikannya dengan keperluan dan kehendak semasa. Jika ini tidak terlebih dahulu dibuat, jangan diubah atau diganggu sistem yang sedia ada takut nanti orang kata kita sebagai peneraju negeri tidak tahu peraturan dan undang-undang.

Tapi apa boleh buat, mereka yang mentadbir tidak begitu ada pengalaman dan baru setahun jagung memerintah. Apabila tidak ada pengalaman maka inilah yang terjadi - lebih banyak ikut perasaan daripada ikut peraturan.

Artikel Berikut

Artikel Lain