suria

Pemuda Pas Sasar Golongan Muda Pada Pilihan Raya Kecil Dun Tenang

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS mengakui bahawa bukan mudah untuk parti itu merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil 30 Januari ini.

Ketuanya Nasrudin Hassan berkata walaupun kawasan itu merupakan kubu kuat BN, namum pihaknya tidak akan memberi laluan mudah kepada jentera BN khususnya UMNO dengan melakukan beberapa persiapan awal.

"Kita telah meninjau bagaimana situasi di Tenang dan kita yakin masih mempunyai peluang untuk menang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Dewan Pemuda PAS di sini, Sabtu.

Nasrudin berkata bagi membantu jentera PAS di DUN tersebut, sekurang-kurangnya 500 anggota Pemuda akan dihantar bagi menjalankan aktiviti untuk mendekati golongan remaja di situ.

"Mereka akan menggerakkan aktiviti golongan muda seperti futsal, ekspo, motocross, di mana itu adalah antara yang kita telah rancang...di samping memberi maklumat mengenai isu-isu yang terbaru," katanya.

Nasarudin berkata mereka juga turut akan mencari alternatif bagi menyampaikan maklumat kepada orang ramai di kawasan itu dengan mendakwa bahawa penduduk di situ banyak bergantung kepada maklumat satu hala sahaja yang hanya memberi kelebihan kepada BN.

"Kita akan mengolah bagaimana maklumat itu dapat disampaikan kepada segenap lapisan pengundi, yang penting tiada halangan dan sekatan dari pihak berkuasa dan juga kerajaan," katanya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha, 59, daripada BN akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, di sini, pada 17 Dis lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 22 Jan ini sebagai tarikh penamaan calon dan hari pengundian pada 30 Jan ini. Pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008, Allahyarham Sulaiman menewaskan calon PAS, Mohd Salim Siran dengan majoriti 2,492 undi.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain