suria

Pelancong Warga Ireland Maut Digigit Dua Anjing

BALIK PULAU: Seorang pelancong warga Ireland maut diserang dua ekor anjing jenis Mongrel semasa dia bersama teman wanitanya sedang mengambil gambar di sebuah ladang Organik di sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Mohd Hatta Mohd Zin berkata Sullivan Maurice, 50, meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian kaki, bahu, dada, pipi kiri, dagu serta kening, di samping putus telinga, dalam kejadian pada kira-kira pukul 10 pagi itu.

Beliau berkata Maurice meninggal dunia di tempat kejadian manakala teman wanita lelaki Ireland itu, yang merupakan seorang warga Poland berumur 28 tahun, tidak cedera.

"Lelaki itu diserang seekor anjing betina dan seekor anjing jantan milik pemilik ladang berkenaan. Kedua-dua pelancong itu dipercayai bermain dengan empat ekor anjing milik pemilik ladang tersebut semalam. Dua daripada anjing itu terbabit dalam serangan pagi ini," katanya.

Maurice berada di ladang itu sejak semalam atas jemputan pemilik ladang berkenaan, dan beliau menginap di penempatan homestay berhampiran.

Hatta berkata kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat warga Ireland itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain