suria

Cuepac Mahu Bela Nasib Pekerja Kontrak

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan memastikan nasib lebih 2,000 pekerja kontrak dalam sektor pelajaran di seluruh negara yang tidak disambung perkhidmatan mereka sejak akhir tahun lepas terbela.

Presidennya Omar Osman berkata sebagai langkah pertama, Cuepacs akan menghantar surat permohonan untuk bertemu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran pada Isnin ini, bagi membincangkan masalah yang melibatkan golongan tersebut.

"Di Pulau Pinang setakat ini ada 350 pekerja yang kontrak mereka tidak disambung, di Perak 114 orang sementara di negeri-negeri lain kita sedang tunggu maklum balas daripada pihak negeri untuk statistik sebenar," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Cuepacs di sini, Sabtu.

Pada bulan lepas, beliau memaklumkan seramai 350 pekerja Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang yang berstatus kontrak bakal ditamatkan perkhidmatan mereka pada akhir tahun 2010, dan keadaan yang sama turut bakal dihadapi kira-kira 2,000 pekerja Am Rendah di seluruh negara.

Omar juga berkata Cuepacs akan berjumpa dengan agensi-agensi terlibat bagi mencari jalan penyelesaian melibatkan pekerja-pekerja kontrak dari sektor lain.

"Pada masa ini terdapat kira-kira 50,000 pekerja kontrak di seluruh negara, bagaimanapun jumlah sebenar pekerja yang tidak disambung perkhidmatan masih belum dipastikan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata satu perjumpaan dengan bahagian perkhidmatan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan diadakan Rabu depan untuk membincangkan kaedah penilaian yang lebih berkesan bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) untuk penjawat awam yang akan dimansuhkan mulai Jun ini.

"Kita tidak mahu penilaian baru ini melibatkan apa-apa unsur seperti PTK. Kita mahu satu sistem baru yang menjurus kepada memberi kebaikan bersama," katanya.

Jelasnya, penilaian baru itu nanti diharap dapat memberi lebih perhatian kepada senioriti dan kenaikan tangga gaji dinilai berdasarkan kecekapan penjawat awam menjalankan tugas. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain