suria

Umno Jamin Selesai Air Di Kelantan Dalam Tempoh Lima Tahun

BACHOK: Badan Perhubungan Umno Kelantan memberi jaminan akan menyelesaikan masalah bekalan air bersih di negeri itu dalam tempoh satu penggal atau lima tahun jika Barisan Nasional diberi peluang memerintah Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Timbalan Pengerusinya Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata tempoh itu lebih cepat berbanding jaminan kerajaan PAS Kelantan bahawa isu itu akan dapat diselesaikan dalam tempoh 17 tahun akan datang.

"Kita tidak mahu rakyat Kelantan menerima kesulitan itu dalam tempoh yang terlalu lama kerana isu itu merupakan antara keperluan asas yang mesti diutamakan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, pada Sabtu.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata satu projek contoh untuk menyelesaikan isu air bersih akan dibina di Kampung Gunong di sini dalam tempoh terdekat.

Projek itu menggunakan sistem bekalan air tiub bagi keperluan 30 rumah yang kini terpaksa menggunakan air dari perigi yang seakan bercampur minyak.

"Jika kaedah itu berjaya kita akan perluaskan ke seluruh Kelantan, itu pun jika rakyat Kelantan memberi kepercayaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain