suria

SAS Umum Agihan Pendapatan Empat Peratus

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mengumumkan agihan pendapatan empat peratus atau empat sen bersih seunit untuk Saham Amanah Sabah (SAS) bagi 2010.

Musa yang juga Menteri Kewangan Negeri bwekata jumlah pembayaran sebanyak RM45.78 juta berasaskan 1.144 bilion unit yang dipegang oleh pemegang unit sehingga 31 Dis 2010.

"SAS mencatatkan pendapatan kasar RM64,286,395 dalam tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2010.

"Agihan pendapatan membabitkan sebanyak RM46,358,782, selepas ditolak perbelanjaan pengurus dan peruntukan percukaian," katanya selepas mengumumkan agihan pendapatan SAS di sini, Sabtu.

Beliau berkata 54,000 pelabur, yang melibatkan 46,014 pelabur individu dan 7,407 pelabur skim miskin tegar, 530 pelabur dengan pinjaman bank dan 46 pelabur korporat, akan dibayar menerusi terbitan waran.

Bagaimanapun pelabur skim miskin tegar akan dibayar secara tunai atau menerusi akaun Amanah Saham Bumiputera.

Sementara itu, Musa berkata SAS menduduki ranking pertama Lipper Asia Limited Rating Agency berasaskan prestasi tiga tahunnya dengan mendahului 73 dana lain dalam kategori Ekuiti Malaysia.

"Ia merupakan pencapaian yang baik yang diterima oleh SAS dan Saham Sabah Berhad (SSB), selaku pengurus.

"Saya mengucapkan tahniah kepada pengurusan SAS kerana berjaya merekodkan peningkatan berterusan dalam harga unit sejak tiga tahun lepas," katanya.

Beliau juga berharap SAS terus mengamalkan pengurusan kukuh dan membuat keputusan bijak untuk kebajikan pelabur.

Pada pengumuman agihan pendapatan SAS itu, Musa turut melancarkan laman web SSB, www.sahamsabah.com.my bagi membolehkan pelabur dan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai syarikat itu serta SAS.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain