suria

Risda Sabah Luluskan 2,120 Hektar Tanah Untuk Tanaman Semula Getah

KOTA KINABALU: RISDA Sabah telah meluluskan seluas 2,120 hektar tanah untuk projek penanaman semula getah di seluruh negeri itu untuk tahun ini.

Pengarahnya Omar Hassan berkata jumlah kelulusan permohonan dari pekebun-pekebun kecil itu adalah lebih tinggi berbanding 1,300 hektar yang diluluskan pada tahun lepas.

"Penanaman semula getah merupakan aktiviti teras RISDA tetapi kami juga berharap memperkembangkan kepada peluang-peluang yang belum diterokai," katanya semasa majlis pelancaran Kelab Usahawan RISDA Sabah di sini, Sabtu.

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Pengerusi RISDA Tan Sri Rahim Tamby Chik. Omar menambah antara aktiviti sampingan yang ingin diterokai adalah memproses bahagian-bahagian lain pokok getah untuk dijadikan perabot.

"Dengan teknologi yang ada hari ini, usahawan-usahawan kita boleh memproses misalnya dahan pokok getah menjadi perabot.

"Ini belum dilakukan oleh RISDA di Sabah dan kami menyasarkan untuk memulakan aktiviti ini tahun ini," tambah beliau.

Katanya aktiviti-aktiviti lain adalah tanaman kontan seperti padi huma dan labu manis di kawasan yang dikenalpasti.

Sementara itu, Rahim berkata tiga agenda agensi itu adalah untuk meningkatkan lagi pendapatan dan produktiviti pekebun kecil getah, memperkasakan koperasi dan memperkembangkan bidang keusahawan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain