suria

Persediaan PRU-13: Najib 'Temuduga' Ahli Parlimen BN Hari Ini

PUTRAJAYA: Perjumpaan khas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Sabtu, adalah memfokus kepada persediaan BN bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Najib, yang juga Pengerusi BN berkata, perjumpaan itu adalah untuk beliau mengetahui keadaan sebenar di kawasan masing-masing sekali gus memberikan arahan kepada wakil-wakil rakyat tersebut.

"Ini merupakan satu usaha dalam proses transformasi politik yang telah saya nyatakan.

"Saya perlu memberitahu mereka tentang apa yang mereka harus lakukan dan saya perlukan pendapat mereka," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Mesyuarat tersebut diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada pagi.

Ditanya sama ada pertemuan itu adalah sebagai persediaan bagi menghadapi pilihan raya umum ke 13, Najib berkata : "Semuanya menjurus kepada pilihan raya umum. Kita mahu dipilih semula. Kita mahu berkhidmat kepada rakyat dan terpulang kepada rakyat untuk membuat pilihan."

Ketika ditanya mengenai pertemuan beliau dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin baru-baru ini, yang turut dihadiri pemimpin-pemimpin kanan PAS, Najib berkata: "Saya dan rakan-rakan lain dari pimpinan PAS menghormati jemputan Yang di-Pertuan Agong, sebab itulah kami hadir.

"Kita harus hormati persefahaman mengenai pertemuan itu, dan Yang di-Pertuan Agong mahu supaya ia satu pertemuan tertutup. Saya hormati permintaan itu."

Artikel Sebelum

Artikel Lain