suria

Pengusaha Keropok Rugi RM40,000 Selepas Kedai Dihempap Pokok Ru

KUALA TERENGGANU: Seorang pengusaha keropok kerugian kira-kira RM40,000 selepas kedainya di Kuala Ibai di sini dihempap sebatang pokok ru pagi Sabtu.

Kejadian berlaku ketika angin kencang dan hujan lebat melanda kawasan itu kira-kira 5.30 pagi tadi.

Pemilik kedai berkenaan, Anna Izawati Hamzah, 41, berkata kejadian disedari pada 6 pagi oleh seorang pekerjanya yang datang untuk membuka kedai.

Beliau bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan oleh pekerjanya dan terkejut melihat kedai yang diusahakan bersama suami, Wan Yusoff Wan Ngah, 47, sejak enam tahun lalu, hampir ranap.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kejadian berlaku semasa tiada sesiapa di kedai termasuk pekerja," katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.

Turut rosak akibat pokok tumbang di kawasan sama ialah lima buah rumah dan sebuah lagi kedai keropok.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Batu Buruk Datuk Che Mat Jusoh berkata pihaknya akan mengkaji bentuk bantuan kepada pemilik rumah dan kedai terbabit.

"Pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu MBKT diharap dapat mengambil tindakan segera untuk mencantas dahan pokok ru berhampiran premis penduduk yang ada antaranya setinggi 15 meter.

"Ketinggian itu berbahaya, lebih-lebih lagi ketika angin kencang di musim tengkujuh," katanya ketika melawat tempat kejadian.

Pegawai Kesihatan Persekitaran MBKT Razali Mohd pula berkata sejak semalam, banyak aduan berkaitan pokok tumbang diterima.

Sehubungan itu, beliau berkata Bilik Gerakan Bencana pada musim tengkujuh telah dibuka dan orang ramai boleh menghubungi talian 09-6203179 atau 09-6203180 bagi memaklumkan sebarang kejadian agar tindakan segera dapat diambil. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain