suria

PCM Tingkatkan Persediaan Hadapi Pilihan Raya Sarawak

KANOWIT: Parti Cinta Malaysia (PCM) telah meningkatkan persediaan parti itu menghadapi pilihan raya negeri Sarawak ke-10 yang dijangka diadakan pada bila-bila masa selepas sambutan Tahun Baru Cina bulan depan.

Sebagai sebahagian daripada persediaan itu, Pengerusi PCM Negeri, Gabriel Adit Demong melancarkan cawangan PCM Kanowit, iaitu cawangan pertama di luar Kuching, Sabtu.

Katanya parti itu kini mencari calon sesuai untuk bertanding dalam 15 kerusi daripada 71 kerusi pada pilihan raya negeri itu.

Adit, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah selama empat penggal, berkata beliau akan mempertahankan kerusinya yang kali pertama dimenangi semasa mewakili Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) yang kini dibubarkan, pada pilihan raya negeri pada 1991.

"Kami akan mengumumkan calon dari PCM sehari sebelum hari penamaan," katanya.

Walaupun enggan menamakan kerusi yang mungkin dipertandingkan, Adit sering menyebut kawasan Machan, Marudi, Bekenu, Baru Danau, Tamin, Engkilili dan Meluan.

Adit, yang merupakan ADUN tunggal dari PCM, berkata: "Kami perlu bermula dari kecil kerana sumber dan tenaga kerja yang terhad."

Walaupun parti yang dibentuk pada 2009 berpangkalan di Pulau Pinang, katanya, asas perjuangan PCM di negeri itu adalah untuk masyarakat Dayak.

"Perkara paling penting adalah untuk rakyat mengetahui dengan jelas asas perjuangan kami untuk mereka semua membuat keputusan pada hari pengundian.

"Perjuangan kami adalah untuk melindungi tanah rakyat dan bagi masyarakat Dayak,", katanya.

Beliau mengulangi pendirian bahawa PCM tidak ditubuhkan untuk bersepakat dengan mana-mana parti pembangkang bagi menghadapi pilihan raya itu.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain