suria

Pasukan Gerakan Marin Gagalkan Cubaan Seludup Rokok Kretek

PELABUHAN KLANG: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pelabuhan Klang hari ini berjaya mengagalkan cubaan menyeludup masuk lebih 1,000 kartun rokok kretek pelbagai jenama di kawasan perairan hutan bakau Sungai Chandong Besar, Pelabuhan Barat di sini.

Pegawai Pemerintah PGM Wilayah 1 Pelabuhan Klang DSP Norzaid Muhammad Said berkata kejayaan itu adalah hasil rondaan pasukan bot ronda PGR II di kawasan berkenaan pada kira-kira pukul 4.30 petang.

Beliau berkata pasukan itu terserempak dengan dua lelaki yang menaiki sebuah sampan dalam keadaan mencurigakan, dan sebaik menyedari kehadiran anggota pihak berkuasa, kedua-dua lelaki itu terus melarikan diri ke kawasan hutan bakau.

"Mereka kemudiannya meninggalkan sampan yang dinaiki dan melarikan diri ke kawasan darat," katanya kepada pemberita di sini , Sabtu.

Katanya pemeriksaan lanjut ke atas sampan yang ditinggalkan suspek membawa kepada penemuan 1,328 kartun rokok jenama Absolute Filter Mild, Absolute Filter Menthol dan Gudang Garam Nusantara yang kesemuanya dipercayai untuk diseludup ke pasaran tempatan.

Norzaid berkata turut dirampas ialah sampan fibre dan sebuah enjin sangkut yang digunakan suspek untuk menyeludup rokok terbabit, dan semua rampasan itu dianggar bernilai RM61,000. Sampan serta enjinnya kemudian dibawa ke pangkalan marin untuk membuat laporan polis berhubung rampasan yang dilakukan," katanya.

Beliau berkata operasi rutin yang dikenali sebagai 'Op Cegah Jenayah Octopus' di kawasan perairan Selangor itu akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi membendung aktiviti penyeludupan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain