suria

MKN Jamin Rondaan Dijalankan Elak Kecurian Musim Banjir

RANTAU PANJANG: Majlis Keselamatan Negeri Kelantan memberi jaminan rondaan menggunakan bot akan dilakukan di kawasan rumah mangsa banjir berdekatan sempadan Malaysia-Thailand bagi menjaga keselamatan harta benda mangsa daripada dicuri.

Setiausahanya, Roslee Mamat berkata pihaknya akan meminta polis, Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Rela membuat rondaan keselamatan terutama di kawasan Rantau Panjang.

"Kita dapati masih terdapat mangsa banjir yang enggan berpindah terutama mereka yang tinggal dekat Sungai Golok, iaitu kawasan bersempadan dengan negara jiran, kerana khuatir ada pihak cuba mengambil barang mereka di dalam rumah apabila mangsa berpindah ke pusat perpindahan sementara," katanya kepada Bernama ketika meninjau kawasan banjir di Rantau Panjang.

Beliau berkata mangsa banjir tidak perlu risau kerana apabila mereka diarahkan pindah, yang penting adalah keselamatan nyawa mereka.

Setakat ini, tiada sebarang laporan kehilangan harta benda melibatkan mangsa banjir diterima, katanya.

Rantau Panjang di bawah Jajahan Pasir Mas merupakan kawasan yang terjejas teruk akibat banjir di Kelantan sehinggakan bandarnya, yang terletak bersebelahan dengan pekan Golok, Selatan Thailand dan hanya dipisahkan dengan Sungai Golok selebar 100 meter, kini terputus hubungan akibat ditenggelami air sedalam satu meter.

Artikel Sebelum

Artikel Lain