suria

KPN: PDRM Akan Tingkatkan Integriti, Profesionalisme & Imej Untuk Perangi Jenayah

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggiatkan lagi usaha untuk memerangi jenayah dengan meningkatkan lagi integriti, profesionalisme dan imej anggota dan pegawainya serta pemodenan peralatan dan infrastruktur, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

"Satu daripada eleman penting bagi kejayaan di sini ialah dengan meningkatkan lagi integriti pegawai-pegawai saya ke tahap yang lebih tinggi," katanya pada taklimat kepada editor-editor kanan media di ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman di sini awal minggu ini.

Antara pegawai kanan PDRM yang hadir ialah Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Hussin Ismail, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik Datuk Noor Rashid Ibrahim, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Syed Ismail Syed Azizan, Pengarah Jabatan Logistik Datuk Mashuri Zainal.

Ismail mengakui terdapat "beberapa anggota dan pegawai" yang telah mencemarkan imej pasukan keselamatan itu tetapi menurutnya beliau akan terus berusaha meningkatkan tahap profesionalisme pegawainya melalui pembangunan modal insan dan latihan.

Buat permulaan, semua anggota dan pegawai di barisan hadapan perlu sentiasa kemas berpakaian seragam dan profesional dalam tatalaku dan ketika bertugas seperti menahan kereta, mengeluarkan saman atau merekodkan laporan, katanya.

Mereka perlu berada dalam kelas pertama daripada segi penampilan, tatalaku dan cara mereka bercakap," kata Ismail, yang memegang jawatan Ketua Polis Negara pada 13 September tahun lalu setelah menyertai PDRM sebagai inspektor pada 1971.

Ismail juga berkata sejak beliau menerajui pasukan keselamatan itu, pegawai polis turut diarahkan memupuk hubungan lebih rapat dengan orang ramai terutama di kawasan mereka termasuk badan dan persatuan agama.

Untuk menampilkan imej pasukan yang lebih positif, pegawai juga dinasihatkan supaya memakai pakaian seragam semasa menunaikan solat atau upacara keagamaan di masjid, kuil atau gereja dan perlu terlibat secara proaktif dalam aktiviti yang dianjurkan rumah-rumah ibadat berkenaan.

"Kami mahu mengambil pendekatan baru di sini. Saya dimaklumkan yang pegawai polis di Pulau Pinang, Johor dan Perak bersama-sama menaiki bas polis untuk pergi sembahyang dan saya harap pegawai di negeri-negeri lain juga akan berbuat demikian," kata Ismail.

Dengan menjalin hubungan lebih rapat dengan masyarakat, beliau berkata ia akan membantu polis meraih keyakinan dan kerjasama orang ramai yang akan dapat membantu mereka dalam tugasan pencegahan dan penyelesaian jenayah.

"Ini mengenai pemupukan perasaan lebih hormat dan sayang kepada pegawai saya dalam pakaian seragam biru," katanya.

Mengenai pemodenan infrastruktur dan peralatan pasukan polis, beliau berkata ia bukan hanya melibatkan pemerolehan aset tetapi juga latihan bagi memahirkan pegawai dalam menggunakan teknologi terkini untuk memerangi jenayah.

Memastikan pasukan polis dilengkapi peralatan pengawasan teknologi terkini akan dapat meningkatkan keupayaan pegawai secara menyeluruh, katanya.

"Kami mahu menjadikan Malaysia sebagai tempat tinggal yang selamat...bagi rakyat Malaysia, pelabur-pelabur dan pelancong...kami mahu mereka benar-benar berasa selamat," katanya dan menurutnya polis, sebagai penjaga undang-undang, akan menggunakan pendekatan tegas tetapi berhemah dalam mengendalikan mereka yang melanggar undang-undang negara.

Pasukan polis telah berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan oleh PEMANDU (Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri) untuk mengurangkan jenayah jalanan sebanyak 20 peratus dan jenayah keseluruhan sebanyak 5.0 peratus pada 2010 di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Jenayah.

Mengikut fakta, indeks jenayah jalanan di Malaysia menurun sebanyak 35 peratus pada 2010 berbanding pada 2009 manakala jenayah keseluruhan berkurangan sebanyak 15 peratus berbanding pada 2009. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain