suria

India Sedia Maklum Mengenai Kebajikan Kaum India Di Malaysia

NEW DELHI: Duta khas Malaysia untuk infrastruktur bagi India dan rantau Asia Selatan Datuk Seri S.Samy Vellu berkata India tidak akan menghentikan pelaburannya di Malaysia kerana kedua negara itu memiliki jalinan hubungan perdagangan yang baik sejak sekian lama.

Beliau yang menolak gesaan oleh satu kumpulan rakyat Malaysia yang melancarkan kempen anti-Malaysia bagi menggesa kerajaan India supaya menyekat hubungan perdagangan dengan Malaysia berkata, pemimpin-pemimpin kerajaan India sedia maklum dengan keadaan semasa di Malaysia.

Katanya beliau akan menulis surat kepada kerajaan India untuk memberi penjelasan mengenai perkara itu, bagi memberikan maklumat lebih tepat mengenai keadaan semasa di Malaysia.

"Perdana Menteri India Manmohan Singh sudah melihat sendiri apa yang dicapai oleh kaum India di Malaysia ketika ini. Mereka berpindah daripada sektor pertanian kepada pembuatan, dan kerajaan Malaysia sedang mengambil langkah membantu kaum India," kata bekas Presiden MIC itu kepada media Malaysia disini, Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar di sini mengenai dakwaan satu kumpulan rakyat Malaysia kononnya 'kerajaan Malaysia melakukan pencabulan hak asasi manusia yang dahsyat'.

Samy Vellu berada di sini untuk mengetuai delegasi Malaysia ke satu persidangan antarabangsa edisi ke sembilan yang berlangsung selama tiga hari, yang menghimpunkan ahli akademik, politik dan cendekiawan dari kaum India.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain