suria

Suruhanjaya Diraja Siasat Kes Teoh Beng Hock - PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat punca kematian pembantu politik, Teoh Beng Hock.

Perdana Menteri berkata, Suruhanjaya Diraja tersebut akan diwujudkan dengan terma-terma khusus yang akan ditetapkan dan pihak kerajaan akan melantik ahli-ahli suruhanjaya yang terdiri daripada orang-orang yang terbilang dan dihormati.

"Suruhanjaya ini akan diwujudkan selama tempoh masa tiga bulan selepas satu tauliah perlantikan Pesuruhjaya dikelaurkan oleh Yang DiPertuan Agung di bawah seksyen 2 Akta 119 dan boleh dilanjutkan untuk tempoh masa sepertima yang dibenarkan di bawah seksyen 5 Akta 119," katanya.

Pelantikan dijangka akan dibuat selepas mesyuarat Kabinet Rabu depan, kata Najib pada sidang media di sini.

Kelmarin Koroner Azmil Muntapha Abas memutuskan kematian pembantu politik Exco Selangor itu pada 2009 bukan disebabkan bunuh diri ataupun dibunuh.

Sehubungan itu, banyak pihak mendesak penubuhan surahanjaya diraja bagi menyelesaikan kes berkenaan.

Bagaimanapun Najib berkata penubuhan suruhanjaya berkenaan bukan berdasarkan tekanan daripada pelbagai pihak termasuk ahli politik dan beliau berharap agar melalui penubuhannya akan dapat menyelesaikan kes tersebut.

"Bagaimana pula dikatakan terdapat tekanan politik. Anda rujuk kepada kenyataan saya pada 17 Julai 2009. Saya sudah nyatakan mengenai hasrat kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya DiRaja ini.

"Saya berharap kegusaran keluarga berkenaan...kami bersimpati dengan keadaan mereka. Kami faham apa yang telah mereka lalui. Kami berharap mereka akan benarkan proses ini dijalankan dan berharap kami akan dapat mengetahui apa sebenarnya yang telah berlaku," katanya.

Selain itu Perdana Menteri menambah bahawa Peguam Negara akan memfailkan satu permohonan semakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menyemak keputusan Majistret tersebut.

"Kita semua perlu sedar mengenai undang-undang di negara ini. Kita tidak harus terbawa-bawa dengan emosi kita. Apa yang penting ialah untuk kita ketahui kebenarannya. Kerajaan mahu tahu kebenarannya. Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk mencari kebenarannya...apa sebenarnya berlaku," katanya.

Selain itu Najib berkata beliau sedia berjumpa dengan keluarga Teoh.

Teoh, 30, yang merupakan pembantu politik Exco Kerajaan Negeri Selangor ditemui mati pada 16 Julai 2009, di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain