suria

Rayuan Ibu Tunggal Dera Amah Diketahui 25 Januari

KUALA LUMPUR: Rayuan seorang ibu tunggal yang dihukum penjara selama lapan tahun kerana disabitkan bersalah mendera pembantu rumah Indonesia, Siti Hajar Sadli akan diputuskan pada 25 Januari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Ghazali Cha menetapkan tarikh itu selepas mendengar rayuan yang dikemukakan oleh Hau Yuan Tyng, 44, menerusi peguam M. Manoharan pada Jumaat.

Beliau juga mendengar hujahan balas dari Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran yang mewakili responden dalam rayuan tersebut.

Manoharan menghujahkan bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan elemen penting dalam pertuduhan, iaitu kecederaan yang dialami Siti Hajar boleh menyebabkan kematian.

“Keterangan doktor mengatakan tahap melecur mangsa hanya 12 peratus, iaitu satu tahap yang minor dan pada kecederaan hidung, mangsa hanya retak tulang hidung yang tidak membahayakan nyawanya,” kata Manoharan.

Beliau juga menimbulkan persoalan identiti Siti Hajar yang mana menurut beliau, tidak dapat diputuskan ekoran pasportnya tidak dikemukakan di mahkamah.

“Laporan polis dibuat oleh seorang kakitangan Kedutaan Indonesia atas alasan mangsa tiada pasport. Tetapi pihak kedutaan tidak mengemukakakn dokumen yang menunjukkan mangsa rakyat mereka,” tambahnya.

Selain itu, beliau juga mempersoalkan keterangan Siti Hajar yang mengatakan dia dicurah air panas daripada pukul 11 pagi hingga 9 malam, kerana menurut beliau, ia sukar untuk dipercayai.

Bagaimanapun, Raja Rozela membidas hujahan tersebut dengan berkata, persoalan mengenai identiti mangsa tidak pernah ditimbulkan pada peringkat awal pendakwaan.

“Ketiadaan pasport tidak menimbulkan sebarang keraguan kerana fakta jelas ialah mangsa merupakan pembantu rumah kepada perayu,” katanya.

Selain itu, beliau juga berkata, keterangan mangsa mengenai kecederaan yang dialaminya adalah disokong oleh saksi pakar, iaitu doktor.

Hau, yang merupakan bekas ejen hartanah disabitkan bersalah pada 14 Mei 2010 atas dua tuduhan menyebabkan kecederaan parah dan satu tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap Siti Hajar, yang telah bekerja dengannya selama dua tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dengan menggunakan air panas, tukul besi dan gunting antara Februari dan Jun 2009.

Dia kesalahan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di kediamannya, nombor 1-19-1, Lanai Kiara Condominium, Jalan Kiara 3, Mont Kiara, di sini.

Tertuduh didakwa di mahkamah untuk kali pertama pada 18 Jun 2009.

Pada 20 Mei 2010, Hakim Mahkamah Sesyen di sini, pada S.M Komathy Suppiah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan memerintahkan Hau membayar pampasan bernilai RM5,000 kepada Siti Hajar secepat mungkin.

Perbicaraan sebelum ini melibatkan keterangan 15 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain