suria

Pintu PBS Sentiasa Terbuka Buat Jeffrey Kitingan, Kata Setiausaha Agung

KOTA KINABALU: Pintu Parti Bersatu Sabah (PBS) sentiasa terbuka untuk sesiapa sahaja, termasuk bekas naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan lain-lain bekas anggota PKR dari komuniti Kadazandusun Murut yang ingin menyertai PBS, kata setiausaha agungnya Datuk Henrynus Amin.

Katanya PBS yang merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN) sanggup menerima mereka demi perpaduan, terutama dalam komuniti Kadazandusun Murut di Sabah.

Beliau berkata sekiranya komuniti itu tidak bersatu, ia tidak akan dapat memberi kesan yang ketara dalam pentabdiran mana-mana pihak, baik dalam parti pemerintah BN, mahupun pembangkang.

"Itu sebabnya komuniti Kadazandusun Murut perlu bersatu demi kebaikan komuniti dan negeri. Ia tidak boleh berpecah belah," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Henrynus berkata demikian semasa mengulas tindakan Jeffrey meninggalkan PKR baru-baru ini, yang menyaksikan beberapa pemimpin parti itu kemudiannya turut meninggalkan parti tersebut beberapa hari kemudian, dan berikrar menyokong Barisan Borneo Bersatu (UBF), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang baru ditubuhkan Jeffrey.

Beliau berkata kenyataan bahawa semakin ramai meninggalkan PKR, menunjukkan bahawa parti itu bukan platform terbaik bagi memperjuangkan suara komuniti Kadazandusun Murut di Sabah dari aspek politik.

"Jelas komuniti ini sudah tidak lagi percaya dengan perjuangan PKR dan saya percaya lebih ramai lagi anggota PKR akan mengikut jejak langkah mereka yang meninggalkan parti itu," katanya.

Henrynus berkata BN, yang sedang membuat transformasi dengan mendengar masalah serta aspirasi rakyat peringkat akar umbi dan mengguna pakai konsep politik moden, seharusnya menjadi pilihan nombor satu kepada komuniti itu.

Katanya PBS bertekad untuk membangkitkan pelbagai isu yang berkaitan dengan Sabah dalam perjuangannya termasuk, masalah berkaitan pendatang haram, pemilikan MyKad secara haram, kebajikan rakyat, dan sebagainya.

Bagi tujuan itu Henrynus menggesa seluruh rakyat Sabah, terutama komuniti Kadazandusun Murut, untuk menyokong BN, yang jelas memiliki rekod pentadbiran yang cukup baik. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain