suria

Mohamed Satim Dilantik Ketua Pembangkang DUN Selangor

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Datuk Mohamed Satim Diman dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan (DUN) Negeri Selangor yang baru menggantikan Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo yang sedang berhadapan dengan kes mahkamah.

Keputusan tersebut dicapai pada mesyuarat Umno Selangor yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Bangunan Umno Selangor malam tadi.

Pada mesyuarat yang berlangsung lebih dua setengah jam itu, Mohd Najib turut mengumumkan pelantikan Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed sebagai Setiausaha Badan Perhubungan Negeri yang baru menggantikan Mohamed Satim.

"Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor kerana memberi kepercayaan kepada saya atas pelantikan ini.

"Saya yakin Umno Selangor akan lebih kuat dan matlamat kita hanya satu, untuk rampas semula negeri ini daripada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Jumaat.

Rombakan tersebut dibuat selepas Mohd Khir melepaskan jawatannya bulan lalu.

Semalam Mohd Khir didakwa atas tuduhan mendapatkan bagi dirinya dan isteri, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di nombor 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, di sini pada harga RM3.5 juta sedangkan hartanah itu dibeli oleh Ditamas dengan harga RM6.5 juta pada 23 Disember 2004.

Mengulas lanjut mengenai pelantikannya, Mohamed Satim berkata beliau mahu mengubah persepsi rakyat supaya mereka kembali memberi sokongan kepada Umno dan Barisan Nasional.

"Tanggungjawab ini cukup besar namun saya akan cuba memberikan yang terbaik. Saya akan rangka strategi dan gerakan jentera untuk tawan semula Selangor. Sudah terbukti kita ada rekod yang baik selama memerintah Selangor sebelum ini.

"Kita tidak mahu jadi seperti Pakatan Rakyat, dalam soal pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru pun mereka sudah buat kecoh,” katanya.

BN kehilangan Selangor kepada Pakatan Rakyat selepas hanya memperoleh 21 daripada 56 kerusi DUN.

Pada Jun tahun lalu, beberapa laman blog pro-pembangkang mendakwa Mohamed Satim bersedia melepaskan semua jawatan politiknya kerana didakwa tidak memperlihatkan prestasi yang baik sebagai wakil rakyat serta kecewa dengan pucuk pimpinan Umno.

Beliau bagaimanapun menafikan khabar angin tersebut dan muncul pada mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri selepas itu.

Satim dijangka mengambil alih jawatan sebagai Ketua Pembangkang secara rasmi pada sidang DUN khas yang akan diadakan akhir bulan ini.

Sidang khas itu diadakan bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor bagi memberikan kuasa kepada Sultan dan Menteri Besar terlibat secara terus dalam pelantikan tiga jawatan eksekutif tertinggi di negeri, iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Setiausaha Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain