suria

Bekas Pengarah Dan Pengarah Eksekutif Didapati Bersalah Memanipulasi Pasaran Saham

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Eksekutif Kumpulan syarikat penasihat pelaburan, Impetus Consolidated Sdn Bhd (Impetus), Datuk Philip Wong Chee Keong dan Pengarah Eksekutif syarikat terbabit, Francis Bun Lit Chun disabitkan bersalah atas tuduhan bersama-sama memanipulasi pasaran saham di Bursa Malaysia Securities Berhad (BMSB).

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, S. M. Komathy Suppiah membuat keputusan tersebut selepas mendapati pembelaan yang dikemukakan mereka gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan.

Beliau kemudiannya menetapkan 12 Januari ini sebagai tarikh untuk mendengar rayuan peringanan hukuman sebelum menjatuhkan hukuman bagi kesalahan tersebut.

Philip, 49, dan Francis, 41, didakwa telah mewujudkan keadaan mengelirukan berkenaan harga saham syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah, Suremax Group Berhad (Suremax) melibatkan 153 akaun sistem depositori pusat (CDS) di pasaran saham BMSB. Perbuatan itu didakwa dilakukan melalui transaksi-transaksi penjualan dan pembelian saham Suremax dalam 153 akaun CDS bagi menaikkan harga saham tersebut.

Mereka yang didakwa melakukan kesalahan itu bersama Pengerusi Kumpulan Impetus, Ivan Ng Chong Yeng, 43, melakukan perbuatan itu melalui transaksi-transaksi penjualan dan pembelian saham Suremax dalam 153 akaun CDS bagi menaikkan harga saham terbabit.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara 24 November 2004 dan 22 Mac 2005 di BMSB, Tingkat 14, Exchange Square, Bukit Kewangan, di sini.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 84(1) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 yang dibaca bersama Seksyen 34 dan 40 Kanun Keseksaan.

Setiap tuduhan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 88B akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1 juta dan penjara tidak lebih 10 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Sekuriti (SC) Rozmawar Rozain.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain