suria

Pesara Disaran Sumbang Idea Positif Tingkatkan Perkhidmatan Awam

KUALA LUMPUR: Pegawai-pegawai kanan kerajaan yang telah bersara disaran agar menyumbangkan idea dan cadangan positif serta membina untuk dimanfaatkan sebaiknya oleh perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, cadangan dan penambahbaikan yang memberi impak positif secara tidak langsung dapat memastikan perkhidmatan kerajaan disampaikan kepada pelanggan dan rakyat, sekaligus dapat membantu menjayakan aspirasi dan wawasan negara.

"Kemukakanlah cadangan penambahbaikan yang berkaitan, di mana jua saudara-saudari berada, baik di agensi swasta atau korporat, di kampung halaman ataupun di luar negara.

"Mungkin dahulu, atas faktor kesibukan menangani tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kita tidak mempunyai masa yang panjang untuk berfikir secara kreatif tentang perkara-perkara yang boleh ditambah baik," katanya ketika berucap pada majlis Khidmat Bakti Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Selain itu, Mohd Sidek juga menyeru agar pegawai-pegawai yang dinaikkan pangkat ke jawatan-jawatan penting dalam perkhidmatan awam melaksanakan tugas dan amanah dengan penuh komitmen, ikhlas dan berintegriti.

Pada majlis itu, seramai 96 pegawai-pegawai kanan kerajaan yang bersara diraikan antaranya adalah bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Pesuruhjaya Sukan Datuk Nik Mahmud Nik Yusof, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah.

Turut hadir adalah 29 pegawai kanan kerajaan lantikan baru termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tujuh GRO Rakyat China Diberkas

Artikel Berikut

Artikel Lain