suria

Perompak Cedera Ditembak Ketika Cuba Serang Polis Dengan Pedang Samurai Dan Pisau

TAWAU: Polis Tawau percaya dapat melumpuhkan sebuah geng samun di daerah ini apabila menembak seorang anggotanya di bahagian peha kanan manakala dua lagi menyerah diri dalam satu insiden di sini malam Rabu.

Dalam kejadian d Jalan Tiku di sini, seorang lagi suspek bagaimanapun berjaya melepaskan diri.

Menurut sumber polis, tiga suspek yang diberkas itu terdiri daripada seorang rakyat tempatan dan dua warga asing berusia dalam lingkungan 30an dan 40an.

Sebelum itu, kesemua suspek telah merompak sebuah rumah di Batu 6, Jalan Apas kira-kira jam 8.15 malam ketika penghuni rumah berkenaan tidak ada di rumah dan melarikan beberapa barangan berharga.

Sumber itu berkata sepasukan lima anggota dalam sebuah kereta telah mengesan kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang dinaiki suspek lalu mengarahkan mereka supaya berhenti.

Selepas gagal mematuhi arahan, sumber itu berkata pihak polis terpaksa menembak tayar dan tangki minyak kereta tersebut sebelum kenderaan itu membuat pusingan 'U' di Jalan Tiku dan merempuh kenderaan polis.

Kesemua suspek kemudian keluar dari kenderaan mereka dan cuba menyerang polis dengan pedang samurai dan pisau Rambo sebelum polis bertindak menembak seorang daripada mereka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tujuh GRO Rakyat China Diberkas

Artikel Berikut

Artikel Lain