suria

Pemandu Treler Nyaris Maut Rempuh Tiga Buah Kedai Di Chemor

IPOH: Seorang pemandu treler nyaris maut selepas merempuh tiga buah kedai di Jalan Kuala Kangsar, pekan Chemor, Khamis, menurut Ketua Polis Trafik Ipoh, Deputi Supritendan Mohd Rodzi Rejab.

Beliau berkata dalam kejadian pukul 9.30 pagi, mangsa Mat Lazim Osman, 51 berasal dari Kampung Tunku Husin, Manjoi hanya cedera ringan di kaki.

Mangsa yang tersepit dalam treler berkenaan kemudian dikeluarkan dengan bantuan Pasukan Bomba dan Penyelamat sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk mendapatkan rawatan, katanya ketika dihubungi.

Mohd Rodzi berkata kejadian berlaku ketika Lazim memandu treler membawa muatan simen dalam perjalanan dari Kanthan ke Ipoh.

Treler berkenaan dikatakan gagal dikawal lalu terbabas dan memasuki laluan bertentangan dan merempuh tiga buah kedai, katanya.

Katanya sebuah kereta jenis Proton Gen-2 yang diletakkan di tepi kedai berkenaan turut rosak akibat dihempap oleh runtuhan kedai terbabit bagaimanapun tiada pemandu dalam kereta tersebut.

Beliau berkata, kedai-kedai yang terbabit, kedai menjual alat-alat memancing ikan, kedai gunting rambut dan sebuah kedai kosong, bagaimanapun pemilik kedai tidak berada di premis berkenaan ketika kejadian berlaku.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tujuh GRO Rakyat China Diberkas

Artikel Berikut

Artikel Lain