suria

Kanak-kanak Lelaki 5 Tahun Mati Terjerut Langsir

ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak lelaki Tan Yin Sheng, 5, mati terjerut kain pengikat langsir di rumahnya di Taman Timah, Jalan Putra di sini malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata, kejadian didakwa berlaku kira-kira 9.30 malam ketika kanak-kanak itu bermain seorang diri di ruang tamu rumah berkenaan.

"Kita menerima panggilan telefon daripada jirannya kira-kira pukul 10.40 malam mengatakan anak jirannya mati terjerut kain pengikat langsir," katanya kepada pemberita, Rabu.

Beliau berkata, mangsa dipercayai seorang kanak-kanak hiperaktif dan didakwa telah memanjat sofa berhampiran dengan langsir sebelum dia terjerut pada kain pengikat langsir itu.

"Kita tidak tahu kejadian sebenar kerana semasa kejadian, emak dan nenek kanak-kanak itu berada di dapur, dan apabila neneknya keluar dari dapur, kanak-kanak itu sudah terkulai," katanya.

Adzaman berkata, terdapat kesan lebam di leher kanak-kanak itu dan polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian mangsa, sama ada mati akibat sesak nafas atau patah leher.

"Buat masa ini, kita klasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat dari Hospital Sultanah Bahiyah," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata 12 orang termasuk tiga warga asing telah ditahan Isnin lepas kerana disyaki terlibat dengan kegiatan pelacuran di Lorong Petani.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada lima perempuan berumur antara 21 dan 48 tahun, empat lelaki rakyat tempatan berumur antara 20-an dan 40-an, serta tiga lelaki rakyat asing iaitu dari Indonesia, Nepal dan Bangladesh berumur antara 21 dan 43 tahun, dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Semua mereka direman selama empat hari bermula semalam hingga Jumaat ini, dan kes disiasat di bawah Seksyen 372 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tujuh GRO Rakyat China Diberkas

Artikel Berikut

Artikel Lain