suria

Hujan Berterusan Di Pantai Timur, Semakin Ramai Dipindahkan

KUALA LUMPUR: Hujan berterusan di tiga negeri pantai timur -- Pahang, Kelantan dan Terengganu -- menyebabkan 443 penduduk di beberapa kawasan di negeri berkenaan dipindahkan apabila kawasan rumah mereka mula dinaiki air.

Sehingga petang Khamis, seramai 212 orang dari 43 keluarga dipindahkan di Pahang, 145 orang daripada 42 keluarga di Terengganu manakala di Kelantan seramai 86 penduduk dipindahkan.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan meramalkan hujan sederhana dari semasa ke semasa di Kelantan dan Pahang dijangka berterusan sehingga Sabtu ini.

Di KUANTAN, Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata kesemua mangsa banjir mula ditempatkan ke pusat pemindahan pada pukul 12 tengah hari.

Beliau berkata kawasan yang terlibat ialah Taman Seberang Balok iaitu 61 orang daripada 12 keluarga dan Kampung Balok seramai 132 orang daripada 27 keluarga yang kini ditempatkan di Dewan Orang Ramai Balok.

Dua sekeluarga dari Kampung Bukit Palas pula ditempatkan di Balai Raya Chendor manakala 17 orang daripada tiga keluarga lagi dari Kampung Cherating ditempatkan di Balai Raya Cherating.

Jalan utama di Km18 Jalan Kuantan-Kemaman di sini hanya dibuka kepada kenderaan berat selepas ditenggelami air sedalam 0.3 meter.

Di KUALA TERENGGANU, keadaan banjir di Hulu Terengganu bertambah baik apabila ramai mangsa dibenarkan pulang, manakala di Setiu jumlah mangsa banjir yang berpindah semakin bertambah.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri berkata di Setiu, seramai 92 orang daripada 28 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan iaitu di Kampung Merbau Menyusup dan Dewan Orang Ramai Langkap.

Di Hulu Terengganu, seramai 53 orang daripada 14 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan di Kampung Pasir Dula dan Balairaya Kampung Tok Lawit, katanya.

Jalan yang ditutup kepada lalu lintas di negeri ini ialah Jalan Kuala Berang ke Sungai Tong di Kampung Kuala Ping, Jalan Pelong ke Langkap di Kampung Merbau Menyusup, jalan Pengkalan Merbau ke Pelung di Kampung Kenangan, Jalan Mengkawang ke Felda Tersat di Kampung Lubuk Periuk dan Jalan Bukit Diman ke Pengkalan Ajal, di Ajil.

Jurucakap itu berkata hujan lebat masih lagi turun dikebanyakan tempat di negeri ini menyebabkan air sungai semakin naik.

Di KOTA BHARU, Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) berkata dua pusat pemindahan dibuka di Tanah Merah iaitu di Balai Raya Kampung Padang Kijang dan di Sekolah Kebangsaan Kulim.

"Sehingga 4 petang ini, seramai 71 mangsa banjir melibatkan 22 keluarga daripada Kampung Padang Kijang dan sekitarnya dipindahkan ekoran kediaman mereka mulai digenangi air," katanya.

Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Kaharuddin Yahya berkata 15 penduduk dari tiga keluarga dari kampung Gong Kala di daerah ini dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Bukit Awang apabila kawasan rumah mereka dinaiki air melebihi 1.5 meter.

Sehingga kini tiada laluan utama ditutup kepada kenderaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tujuh GRO Rakyat China Diberkas

Artikel Berikut

Artikel Lain