suria

Dua Penganggur Didakwa Ragut Tujuh Wanita Di Perlis

KANGAR: Dua penganggur yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, Khamis mengaku tidak bersalah meragut tujuh wanita di beberapa lokasi di Perlis pada bulan Disember lepas.

Tajuddin Mat Desa, 40, dan seorang remaja berusia 18 tahun dari Beseri, didakwa melakukan ketujuh-tujuh kesalahan antara 1 dan 24 Disember lepas, mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Wan Norzanuar Wan Ahmad menetapkan 8 Februari ini untuk perbicaraan.

Beliau membenarkan Tajuddin diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, manakala remaja berkenaan dikenakan jaminan RM3,500 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka meragut beg tangan dan beg duit mangsa yang mengandungi wang antara RM40 dan RM1,320, kad pengenalan, lesen memandu serta telefon bimbit.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tujuh GRO Rakyat China Diberkas

Artikel Berikut

Artikel Lain