suria

Bekas Pegawai Ketua Eksekutif IDH Venture Didakwa Guna Dokumen Palsu

SHAH ALAM: Bekas Pegawai Ketua Eksekutif (CEO) IDH Venture Sdn Bhd, Mohd Azizi Kong Abdullah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas tuduhan menggunakan dokumen palsu dari Kementerian Kewangan, tahun lalu.

Mohd Azizi, 61, didakwa telah menggunakan dokumen rasmi dari kementerian tersebut bertarikh 18 Mei 2009 yang berkaitan ‘Permohonan Untuk Membekal dan Memasang Sinar Flex Road Edge Delineator Posts di Jalan-Jalan Pesekutuan dan Jalan-Jalan Negeri Seluruh Malaysia di bawah Peruntukkan Kerajaan Malaysia’ yang diketahuinya palsu sebagai tulen.

Tertuduh yang beralamat di SErdang Jaya, Seri Kembangan, dekat sini didakwa melakukan kesalahan itu antara Mei dan Jun 2009 di pejabat syarikat tersebut di suite 3A05, tingkat 4, Menara Mutiara Majestic, 15 Off Jalan Othman, Seksyen 3, Petaling Jaya, dekat sini.

Syarikat milik tertuduh menjalankan perniagaan membekal dan memasang produk Sinar Flex Edge, iaitu sejenis alatan yang memantulkan cahaya yang digunakan untuk membantu mengawal keselamatan jalan raya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Sinti mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan atas alasan dia kini tidak lagi bekerja.

“Saya sudah tidak mempunyai pendapatan. Saya ada bon jaminan berjumlah RM30,000 dengan pihak SPRM dan wang tersebu masih belum saya terima semula,” katanya.

Hakim Mat Ghani Abdullah menetapkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 10 Februari depan.

Beliau juga memberitahu, tertuduh boleh mengambil semula bon daripada pihak SPRM untuk digunakan bagi tujuan jaminan.

Artikel Sebelum

Tujuh GRO Rakyat China Diberkas

Artikel Berikut

Artikel Lain