suria

Mohamad Hassan Akan Jumpa Khairy Sebelum Keluar Kenyataan

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengenai kenyataannya tidak akan mempertahankan kerusi parlimen Rembau pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, beliau hanya akan mengeluarkan kenyataan selepas beliau mengadakan pertemuan dengan wakil Parlimen itu.

"Biar saya berjumpa Khairy bertanyakan khabar dulu dan lepas itu nanti barulah boleh saya buat apa-apa pandangan atau kenyataan. Saya pun belum berjumpa dengan beliau, jadi tak eloklah saya buat apa-apa kenyataan yang berupa spekulasi," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Mohamad yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan berkata demikian ketika diminta mengulas kedudukan Ketua Pergerakan Pemuda Umno itu yang mencetuskan kontroversi dan pelbagai spekulasi apabila membuat pengumuman melalui laman sosial Twitter baru-baru ini, untuk berehat daripada politik.

Mohamad berkata, selagi beliau belum berjumpa dengan Khairy, apa saja pandangan, itu merupakan spekulasi.

"Jadi eloklah saya tidak buat apa-apa kenyataan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain