suria

KPDNKK Rampas Gas Bersubsidi Bernilai RM1.5 Juta

ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah hari ini merampas gas bersubsidi bernilai RM1.5 juta dalam serbuan di Kawasan Perindustrian Ringan, Simpang Empat dekat sini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK negeri, Suhaimi Mat Sari berkata, serbuan terhadap sebuah kilang di kawasan berkenaan pada pukul 12.30 tengah hari itu dibuat hasil maklumat orang awam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kilang berkenaan beroperasi secara haram di sebuah premis yang disewa sejak dua bulan lepas dan operasi pemindahan gas dilakukan setiap hari oleh pekerja asing.

"Ketika serbuan enam warga Myanmar dan seorang warga tempatan berusia dalam lingkungan 30-an sedang leka memindahkan Gas Petroleum Cecair (LPG) berkenaan dari tong gas bersudsidi ke sebuah lori tangki.

"Gas yang dipindahkan itu untuk dihantar ke kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam untuk tujuan perindustrian di kawasan itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak terpaksa dipanggil bagi membantu aggota KPDNKK menutup paip gas yang disambung pada sebuah lori tangki yang melakukan pindahan gas itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain