suria

Kementerian Pelajaran Tidak Wujudkan Sekolah Plaster

RANTAU PANJANG: Kementerian Pelajaran tidak wujudkan sekolah plaster untuk mengelompokkan pelajar bermasalah di sebuah sekolah yang sama, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, isu kewujudan sekolah plaster yang digembar-gemburkan merupakan isu baru yang tidak pernah difikirkan kementerian.

"Kementerian tidak pernah mengeluarkan arahan untuk lakukan perkara sedemikian (tempatkan pelajar bermasalah dalam satu sekolah), bahkan kita juga tidak ada menerima aduan mengenai perkara tersebut, ia mungkin merupakan satu tuduhan sahaja.

"Hakikatnya tiada dalam dasar kementerian untuk letakkan semua pelajar bermasalah dalam satu sekolah, kalau sekolah lain seperti sekolah kluster memang ada, sekolah prestasi tinggi, sekolah amanah tetapi tiada sekolah seumpama itu (sekolah plaster)," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di sekolah terjejas banjir di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan kewujudan sekolah plaster yang menempatkan pelajar-pelajar bermasalah dalam usaha mengekalkan prestasi sekolah-sekolah tertentu.

Pelajar bermasalah merangkumi mereka yang mengalami masalah pembelajaran, pelajar yang dibuang sekolah dan yang tidak mematuhi arahan sekolah.

Punca utama kewujudan sekolah plaster itu didakwa ekoran pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang bersikap pilih kasih terhadap sekolah-sekolah dalam daerah dalam usaha mengambil jalan mudah dan melonjakkan kegemilangan institusi pendidikan terpilih seperti Sekolah Rancangan Khas dan Sekolah Kluster.

Mengulas lanjut Puad berkata, kementerian meminta pihak berkenaan yang menggembar-gemburkan kewujudan sekolah plaster itu agar tampil mengemukakan bukti bagi membantu kementerian menjalankan siasatan sewajarnya.

"Belum ada aduan secara nyata bagaimanapun sekiranya ada aduan, kita harap pihak berkenaan kemukakan bukti dan kita akan membuat siasatan. Kita minta pihak itu tampil ke depan dan nyatakan sekolah mana," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain