suria

Polis Tahan Dua Pengedar Dadah Di Tanah Rancangan

KUALA TERENGGANU: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan penahanan dua lelaki dipercayai pengedar yang berselindung di sebalik perniagaan pakaian terpakai dalam satu serbuan di Kampung Pakoh Jaya, di sini, Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Supritendan Roslan Abd Wahid berkata, serbuan ke kedai berkenaan dilakukan kira-kira pukul 5 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota JSJN negeri setelah melakukan intipan hampir setahun.

"Sebaik menyedari kehadiran polis, dua lelaki yang berada di dalam kedai itu telah cuba melarikan diri menyebabkan berlaku pergelutan, namun hasil tindakan pantas kita berjaya menahan kedua-dua suspek," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam kedai itu, polis berjaya menemui dadah berkualiti tinggi yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran iaitu heroin seberat 26 gram, syabu (7.5 gram), pil kuda (50 biji), dan kodein (400 ml) yang kesemuanya dianggar bernilai RM16,000.

Roslan berkata, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berkenaan dipercayai telah hampir setahun menjalankan kegiatan itu dengan membekalkan dadah ke kekawasan Utara Kuala Terengganu dan tanah rancangan.

Antara kawasan yang dikenalpasti ialah Felda Belara, Kampung Tepoh di Kuala Terengganu selain Kampung Tayor, Sungai Tong dan Felda Chalok Barat di Setiu.

"Siasatan juga mendapati kedua-dua suspek yang berumur 35 dn 31 tahun yang berasal dari Felda Belara ini merupakan penagih dadah tegar jenis heroin dan pil kuda sejak 10 tahun yang lalu dan mereka membelanjakan RM100 sehari untuk membeli dadah kegunaan sendiri.

"Suspek berusia 35 tahun ini mempunyai empat rekod jenayah yang berkaitan dadah dan merupakan orang yang dikehendaki polis, manakala rakannya yang bertugas sebagai 'runner' juga mempunyai empat rekod jenayah iaitu tiga kes pecah rumah dan satu kes curi," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mereka kini ditahan reman selama seminggu sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39 A (1) dan 12 (2) akta yang sama.

Katanya, polis juga telah mengenalpasti tujuh hingga lapan orang anggota kumpulan sindiket ini dan usaha memburu mereka sedang giat dilakukan.

"Kita percaya dengan penahanan dua pengedar ini, polis telah dapat melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah terutama ke kawasan tanah rancangan yang terlibat yang mana selepas ini kita akan jalankan operasi pembersihan untuk memutihkan kawasan itu daripada masalah dadah," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain