suria

Mayat Dua Dari Lima Nelayan Yang Hilang Ditemui

KUANTAN: Mayat dua daripada lima nelayan yang hilang selepas bot pukat tunda mereka tenggelam pada Khamis lepas telah ditemui, namun satu daripadanya tidak berjaya dibawa ke darat selepas ia tenggelam semula.

Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur, Komander Maritim Syd Mohd Fuzi Syd Hasan berkata, mayat seorang daripada nelayan itu dijumpai oleh nelayan pada 1 pagi tadi di 23 batu nautika dari Kuantan.

"Nelayan terbabit kemudian menghubungi pihak berkuasa, namun sebelum kapal pasukan mencari dan menyelamat tiba di kawasan berkenaan, mayat tersebut telah tenggelam semula," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebuah bot nelayan kemudian menemui seorang lagi mangsa kira-kira 12 tengah hari tadi di 32 batu nautika tenggara Kuantan sebelum mengangkat mayat tersebut ke dalam bot mereka.

Katanya, pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kemudian mengambil mayat tersebut untuk dibawa ke pangkalan TLDM Tanjung Gelang.

Syd Mohd Fuzi berkata, mayat itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat serta mengenal pasti identitinya, katanya.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi Khamis lepas, empat nelayan warga Thailand serta seorang tekong warga tempatan dikenali sebagai Chuk Luck hilang selepas bot pukat tunda kelas C yang dinaiki mereka tenggelam di 15 batu nautika tenggara dari Tanjung Gelang di sini.

Syd Mohd Fuzi berkata operasi mencari yang melibatkan APMM, TLDM dan Pasukan Gerakan Marin itu akan diteruskan selama dua hari lagi bagi mengesan baki mangsa yang hilang.

"Kita akan memperluaskan kawasan mencari ke arah selatan dari kawasan bot berkenaan tenggelam berdasarkan penemuan mayat ini," katanya.

Beliau berkata, kesemua nelayan terbabit dipercayai tidak memakai jaket keselamatan ketika kejadian, sementara punca kejadian masih disiasat.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan nelayan agar menggunakan jaket keselamatan bagi mengelak kejadian tidak diingini khususnya ketika musim tengkujuh ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain